SIBU: Seramai 184 petani dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan telah menerima bantuan baja dan racun pertanian di bawah program Dana Fasilitasi Pertanian (AFF) dengan nilai keseluruhan RM899,263.20, hari ini.
Setiap peserta menerima input pertanian enam beg baja NPK Green, enam beg baja NPK Blue, tiga tin racun rumour BASTA (5 liter), dua botol racun serangga dan tiga paket racun kulat bernilai RM4,887.30 seorang.
Para petani memohon bantuan tersebut dari Jabatan Pertanian Sarawak melalui Parti Demokratik Progresif (PDP) Bawang Assan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh menyempurnakan majlis penyerahan bantuan pertanian tersebut.
Soon Koh ketika ditemui memberitahu, bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban petani dalam aktiviti pertanian mereka.
Menurutya, mereka memerlukan bantuan itu disebabkan kenaikan harga bahan pertanian berikutan inflasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, harga baja, racun serangga dan semua bahan lain untuk pertanian telah meningkat disebabkan inflasi, ada yang meningkat dua kali ganda dan ada yang hampir tiga kali ganda terutamanya baja.
“Itu membebankan petani sayur sehingga ada petani memutuskan untuk mengurangkan pengeluaran kerana tidak mampu membeli baja dan bahan yang diperlukan untuk pertanian.
“Sesetengah petani memutuskan untuk meninggalkan pertanian kerana mereka merasakan tidak ada gunanya meneruskan pertanian kerana tidak banyak keuntungan,” katanya.
Wong memberitahu, terdapat kira-kira 300 petani di kawasan DUN Bawang Assan dan kali terakhir beliau membantu petani memohon bantuan itu ialah pada 2020 sebelum menjadi ketua pembangkang.
“Semasa saya menjadi pembangkang, saya tidak berhak mendapat sebarang dana kerajaan. Namun, kini, saya kembali dalam kerajaan, saya menikmati semua keistimewaan ini sebagai wakil rakyat,” katanya.
Katanya lagi, sejak beberapa minggu kebelakangan ini, beliau telah mengelilingi kawasan Bawang Assan menemui orang ramai dan membantu membersihkan longkang dan sungai kecil.
“Ia tidak banyak membantu, tetapi saya cuba membantu sebaik mungkin supaya air tidak bertakung di kawasan pertanian,” ujarnya.
Wong turut berterima kasih kepada Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom kerana memberi perhatian kepada bantuan ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Radziah Jack berkata, pada 2020, seramai 210 petani dari Dun Bawang Assan menerima bantuan itu.
“Hari ini, bantuan diberikan kepada mereka yang masih belum menerima bantuan sebelum ini,” katanya.
Turut hadir ialah Pegawai Pertanian Bahagian Sibu, Andrew Iling dan Pengerusi PDP Bawang Assan, Kaunselor Wong Hua.
Oleh AKUN GIMAN