
BINTANGOR: Sebanyak 184 buah rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong menjadi fokus lawatan pra Gawai yang dilaksanakan setiap tahun sebagai usaha berterusan mendekati rakyat dan menyampaikan maklumat bantuan kerajaan Sarawak secara langsung, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor, Datuk Ding Kuong Hiing.
Katanya, lawatan pra Gawai bukan sahaja melambangkan semangat perpaduan dan penghormatan terhadap budaya masyarakat Dayak, malah menjadi platform penting untuk berinteraksi secara terus dengan penduduk rumah panjang di kawasan luar bandar.

“Lawatan pra Gawai yang dilaksanakan setiap tahun bukan sekadar simbol perpaduan dan penghormatan terhadap budaya masyarakat Dayak.
“Ia juga saluran penting untuk saya menyampaikan maklumat mengenai pelbagai bantuan dan insentif kerajaan Sarawak kepada rakyat,” katanya ketika mengadakan lawatan ke beberapa rumah panjang di kawasan Sungai Lemayong pada semalam.
Tambahnya, pendekatan turun padang seperti itu membolehkan rakyat memperoleh maklumat tepat berhubung pelbagai inisiatif kebajikan yang disediakan kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk Kad Kenyalang Gold, Bantuan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Program Faedah Kesihatan Warga Emas Sarawak (SCHB), Bantuan Ibu Bersalin (BIB) dan Kumpulan Wang Wakaf Sarawak (EFS) bagi bayi yang baru lahir.
“Kerajaan Sarawak memberi perhatian serius terhadap pembangunan pendidikan melalui pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang memberi manfaat kepada pelajar melanjutkan pengajian di institusi milik kerajaan negeri seperti Universiti Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Curtin dan Kolej Universiti i-CATS,” katanya.
Katanya, sokongan berterusan rakyat terhadap wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan infrastruktur dan pelaksanaan program kebajikan di kawasan luar bandar dapat diteruskan secara berkesan.
“Hari pertama lawatan pra Gawai 2026 pada hari ini melibatkan kunjungan ke beberapa buah rumah panjang di kawasan Sungai Lemayong iaitu Rumah Ampa, Rumah George, Rumah Chemuring, Rumah Dipa, Rumah Likut dan Rumah Badi,” katanya lagi.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi SUPP Cawangan Bintangor, Chieng Buong Ong; Setiausaha SUPP Cawangan Bintangor, Lau Sie Hing; Bendahari SUPP Cawangan Bintangor, Lee Ngin Soon; Pengerusi Persatuan Tuai-tuai Rumah Daerah Meradong, Tuai Rumah Kichu Ajan; Kapitan Wong Mee King dan Kapitan Wong Leh Hee.
Oleh Earl Anek