KUALA LUMPUR: Sebanyak 181 insiden pesawat yang diarah berpatah balik ke posisi parkir sebelum berlepas, atau Return to Chock (RTC), sepanjang tempoh Januari 2024 hingga bulan ini melibatkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS).
Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan dalam tempoh sama, terdapat 18 insiden pesawat milik syarikat itu berpatah balik ke lapangan terbang asal selepas berlepas, atau Air Turn Back (ATB), berbanding 248 insiden RTC dan 13 insiden ATB kes pada 2023.
Kementerian itu memaklumkan RTC adalah keadaan yang menyaksikan pesawat diarah berpatah balik ke posisi parkir kerana mengalami sebarang masalah atau isu sebelum berlepas manakala ATB merujuk kepada situasi pesawat berpatah balik ke lapangan terbang asal setelah ia berlepas.
“Insiden ini biasanya akibat isu kecemasan atau situasi tidak normal yang berlaku ke atas pesawat seperti masalah kegagalan enjin, isu teknikal dan kecemasan seperti isu kesihatan atau perubatan,” demikian menurut MOT dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat.
Penjelasan itu bagi menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berhubung strategi MOT untuk memastikan penyelenggaraan pesawat MAS selain faktor yang menyebabkan masalah teknikal berlaku.
MOT memaklumkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah menjalankan siasatan mengejut terhadap Malaysia Airlines Berhad (MAB) termasuk MAB Engineering Services (MABES) yang bertanggungjawab ke atas penyelenggaraan pesawat syarikat penerangan itu dari 24 hingga 28 Jun lepas.
Berdasarkan siasatan, antara isu signifikan yang menyumbang kepada insiden teknikal pesawat MAB adalah kemungkinan masalah komponen mekanikal dan kekurangan tenaga pekerja mahir bagi penyelenggaraan pesawat.
“Tindakan penambahbaikan yang dilakukan MAB adalah menyediakan pelan mitigasi antaranya untuk meningkatkan tahap keselamatan pesawat ke tahap waspada bagi membolehkan fokus diberikan terhadap kebolehpercayaan pesawat.
“Selain itu, MAB juga melaksanakan proses perolehan pesawat baharu dan memastikan ketersediaan pesawat yang mencukupi untuk memenuhi keperluan penerbangan yang telah dijadualkan,” katanya.
Bagi memperkukuh aspek penyelenggaraan pesawat, MAB telah mengambil langkah proaktif seperti membatalkan sementara beberapa penerbangan dalam dan luar negara bagi memastikan ketahanan jangka panjang pesawat dan keteguhan operasinya.
MAB juga telah menjalankan siasatan menyeluruh terhadap isu teknikal semasa dengan mengenal pasti dan membetulkan punca selain menambah baik protokol serta prosedur penyelenggaraan bagi memastikan piawaian keselamatan yang ditetapkan dapat dicapai.
Syarikat itu juga sedang memberikan tumpuan kepada peningkatan latihan dan pengambilan pekerja bagi menangani isu peningkatan permintaan serta kompleksiti pesawat moden.
MOT turut memaklumkan bahawa berdasarkan audit terkini CAAM terhadap MAB, tempoh pembaharuan Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) akan dikurangkan kepada setahun berbanding tiga tahun sebelum ini dari 1 Sept 2024 hingga 31 Ogos 2025.
Menurut kementerian itu, syarikat penerbangan perlu melalui proses pengauditan yang lebih kerap sebelum AOC diperbaharui.
“Hal ini akan memastikan MAB lebih peka dan mengambil tindakan-tindakan penambahbaikan sewajarnya sebagaimana pelan mitigasi yang telah dikemukakan CAAM,” katanya.– BERNAMA