

KUCHING: Seramai 18 warga Indonesia ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan imigresen di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini kerana disyaki bekerja tanpa dokumen dan permit sah.
Operasi dikenali sebagai Ops Selera itu dijalankan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuching pada pagi ini dengan kekuatan 18 pegawai.
Antara lokasi yang diserbu ialah premis restoran dan rumah kediaman di Taman Sukma, Kampung Semerah Padi, Tabuan, Pekan Batu 10 serta sebuah medan selera di Batu 4.
Menurut JIM Sarawak, operasi berkenaan dijalankan susulan risikan dan aduan berkaitan penggajian warga asing tanpa permit kerja selain dipercayai melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Ketika serbuan dijalankan, beberapa warga asing dilaporkan cuba melarikan diri bagi mengelakkan ditahan, namun berjaya diberkas anggota operasi.
“Kesemua individu yang ditahan dibawa ke depot imigresen untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
JIM Sarawak dalam kenyataan sama berkata operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkat dari semasa ke semasa bagi membanteras kesalahan imigresen termasuk terhadap majikan dan individu yang menggaji atau melindungi PATI.