

SITUASI ketika banjir kilat berlaku di Kampung Sira, Padawan.
PADAWAN: Sebanyak 18 rumah di Kampung Sira dinaiki air dalam kejadian banjir kilat yang berlaku malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada 10.20 malam.
Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan telah dikerahkan ke lokasi kejadian sejauh 38 kilometer.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi pada 10.59 malam, didapati air naik sekitar 6.30 petang setinggi satu hingga dua kaki dan melibatkan 18 rumah dengan anggaran 35 penduduk.
“Keadaan ketika itu mulai surut dan PKO melakukan pemantauan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian tersebut, dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 12.35 tengah malam.
Oleh Amanda L.