
SIMANGGANG: Sebanyak 18 pertubuhan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah keseluruhan RM83,000 bagi fasa akhir untuk 2025.
Majlis penyerahan cek berlangsung di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN N.32 Simanggang dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis.
Daripada jumlah penerima, 15 adalah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), manakala selebihnya melibatkan dua rumah ibadat dan satu persatuan.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, peruntukan itu adalah inisiatif kerajaan negeri melalui parti pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang disalurkan menerusi wakil rakyat bagi membiayai aktiviti pertubuhan dan memberi manfaat terus kepada rakyat.
“Saya berharap setiap pengerusi memaklumkan kepada ahli bahawa dana ini adalah hasil usaha wakil rakyat yang telah mengemukakan permohonan untuk kelulusan.
“Gunakan peruntukan secara berhemah dan fokus kepada program yang memberi impak positif supaya objektif perancangan JKKK tercapai, sekali gus meningkatkan taraf hidup komuniti,” ujarnya.
Turut hadir, Pemanca Denneil Saweng, Ketua Masyarakat Iban Daerah Sri Aman, serta Kaunselor Dilang Jungai dan Ahli Majlis Daerah Sri Aman (MDSA).
Oleh Adi Safarman