
KUALA LUMPUR: Sebanyak 18 pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 akan menerima biasiswa yang ditawarkan Universiti Awam sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik mereka.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata biasiswa berupa tajaan yuran pengajian itu adalah inisiatif baharu dalam usaha kerajaan untuk terus memperkukuh ekosistem Tingkatan Enam dan menggalakkan lebih ramai pelajar memilih laluan prauniversiti berkenaan.
“Bermula dengan kohort STPM 2025, setiap Universiti Awam akan menawarkan biasiswa pengajian Ijazah Sarjana Muda kepada pelajar terbaik STPM 2025. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua universiti awam atas ikhtiar ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2025, Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warga Asing (SKBMW) di Bangunan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, Pengerusi MPM Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad.
Fadhlina berkata kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh ekosistem Tingkatan Enam termasuk peluasan Kolej Tingkatan Enam, penyediaan papan pintar, bantuan awal persekolahan dan Baucar Buku MADANI.
Beliau berkata prestasi keseluruhan STPM 2025 juga menunjukkan pencapaian membanggakan apabila Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional meningkat kepada 2.88 berbanding 2.85 pada tahun sebelumnya.
“Hal ini menunjukkan bahawa prestasi pendidikan dan mutu pendidikan kita insya-Allah bertambah baik dan kukuh dengan ekosistem yang telah pun kita sediakan,” katanya. – Bernama