
JAKARTA: Sekurang-kurangnya 18 dilaporkan maut selepas satu kebakaran di bangunan pejabat Terra Drone di Jakarta Pusat pada petang tadi, menurut media tempatan, lapor Xinhua.
Semua mangsa ditemukan di dalam bangunan setinggi tujuh tingkat itu, terperangkap apabila api merebak dengan cepat ke beberapa tingkat. Mayat mereka yang hampir rentung dihantar ke sebuah hospital polis di Jakarta Timur untuk proses pengecaman.
Pasukan bomba dari bandar itu terus memeriksa bangunan itu dengan memberi tumpuan pada tingkat tiga hingga lima yang mengalami kerosakan paling teruk.
Pasukan penyelamat menggunakan tangga untuk menyelamatkan beberapa mangsa yang terperangkap di tingkat atas ketika kebakaran berlaku. Puluhan anggota bomba dan beberapa jentera bomba dikerahkan untuk mengawal kebakaran.
Media tempatan turut melaporkan yang lebih ramai mangsa dipercayai masih berada di dalam bangunan.
Operasi mencari dan menyelamat dijangka diteruskan sehingga malam ketika pihak berkuasa berusaha mengesahkan angka kematian dan menentukan punca kebakaran.
Pihak berkuasa belum mendedahkan berapa ramai berada dalam bangunan ketika kejadian berlaku.- Bernama-Xinhua