
SIMANGGANG: Seramai 18 mangsa daripada empat keluarga telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Seri Lemanak di Jalan Stawang, susulan kejadian kebakaran yang berlaku tengah malam tadi.
Kebakaran yang dilaporkan berlaku sekitar 12.14 tengah malam itu telah memusnahkan empat rumah sepenuhnya, manakala dua lagi kediaman mengalami kemusnahan sekitar 80 peratus.
Kesemua mangsa mula dipindahkan ke PPS tersebut sekitar 12.00 tengah hari, dengan proses pendaftaran masih dijalankan oleh agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Satu taklimat khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sri Aman turut diadakan pagi tadi, dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang, bagi menyelaras pembukaan PPS serta bantuan keperluan asas kepada mangsa.
Pihak berkuasa memberi jaminan bahawa bantuan segera termasuk makanan, minuman dan barangan asas akan disalurkan untuk meringankan beban mangsa, sementara menunggu bantuan lanjut daripada agensi lain.
Dalam majlis ringkas pagi tadi, JPBD Sri Aman turut menyerahkan sumbangan awal kepada mangsa kebakaran yang kini ditempatkan di PPS, membabitkan barangan seperti tilam, pakaian, makanan dan minuman.
Oleh Adi Safarman