
MIRI: Seramai 178 pegawai penguat kuasa kesihatan awam dari Bahagian Miri menzahirkan komitmen menolak amalan rasuah menerusi Program Pengukuhan Integriti dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang berlangsung di Bangunan Kebudayaan FORUM, di sini, hari ini.
Program anjuran Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Miri itu turut disertai pegawai daripada Pejabat Kesihatan Daerah Marudi dan Unit Kesihatan Awam Hospital Miri, melibatkan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) serta Pembantu Kesihatan Awam (PKA) yang menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang kesihatan awam.
PKB menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, program berkenaan bertujuan memperkukuh kefahaman serta kesedaran anggota penguat kuasa terhadap amalan integriti dan profesionalisme semasa menjalankan tugas.
“Kita mahu setiap pegawai menghayati nilai kejujuran dan akauntabiliti dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang, termasuk Akta Makanan 1983, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024,” katanya kenyataan itu.
Tiga slot interaktif turut diadakan melibatkan pelbagai agensi, antaranya Hospital Miri yang membentangkan topik Tatatertib dan Tatakelakuan Penjawat Awam, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Miri dengan tajuk Pecah Amanah Jenayah dan Jenayah Siber, serta SPRM Cawangan Miri yang menerangkan Kesalahan Utama Rasuah dan Cara Melaporkan Rasuah.
Majlis turut menyaksikan sesi lafaz dan tandatangan IBR oleh semua pegawai, disaksikan sendiri oleh Dr. Raviwharmman.
Dalam pada itu, PKB turut memaklumkan bahawa sejak Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 926 premis makanan di sekitar Daerah Miri telah diperiksa, dengan 450 notis kompaun bernilai RM224,775 dikeluarkan, manakala 78 premis makanan diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 bagi tujuan pembersihan dan sanitasi.
Bagi pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) pula, sebanyak 215 operasi melibatkan 17,409 premis telah dijalankan, dengan 2,375 notis kompaun bernilai RM593,750 dikeluarkan.
PKB turut menggesa orang ramai, khususnya perokok, agar menghormati hak golongan bukan perokok termasuk wanita hamil dan kanak-kanak dengan tidak merokok di kawasan larangan yang telah diwartakan.
Orang awam yang ingin membuat aduan berkaitan pelanggaran Akta 852 boleh berbuat demikian melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) KKM, WhatsApp 010-8608949, atau laman sesawang jomlapor.com.
Oleh Liong Chai Ling