
MIRI: Sebanyak 176 kenderaan, melibatkan kenderaan perdagangan dan persendirian, telah diperiksa dalam Ops Harian di sini semalam.
Menurut kenyataan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Miri, Ops Harian itu sebagai usaha berterusan bagi meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya serta memastikan keselamatan pengguna sentiasa terjamin.
Operasi itu dilaksanakan secara statik di beberapa lokasi tumpuan utama, antaranya di Jalan Miri By Pass dan Jalan Dato Sri Joseph Balan Seling, Miri.


“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan dikesan, termasuk pemandu tidak memiliki lesen memandu yang sah, cukai jalan dan perlindungan insurans yang telah tamat tempoh, selain kesalahan lain berkaitan aspek teknikal kenderaan,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, JPJ Cawangan Miri menegaskan komitmen untuk terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan dan berfokus sebagai langkah pencegahan serta pendidikan kepada pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan bersama.
Oleh Adum Liu