
MARUDI: Seramai 173 atlet dan individu daripada enam sekolah menengah di Bahagian Miri telah terlibat dalam Kejohanan Hoki Bawah 18 Tahun (18TKB) anjuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS), di Kompleks Sukan Marudi, semalam.
Enam sekolah yang berentap dalam kejohanan tersebut ialah SMK Marudi selaku tuan rumah, Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, SMK Merbau, SMK Riam, Sekolah Menengah Sains Miri (SAINS Miri) dan SMK St. Columba.
Pengetua SMK Marudi, Mohd Effendi Panglima, dalam ucapannya menekankan kejohanan itu bukan sahaja menjadi medan untuk mencungkil bakat-bakat dalam sukan hoki, malah bertujuan memilih atlet berpotensi untuk mewakili Bahagian Miri ke peringkat negeri yang akan berlangsung pada 11 hingga 16 Ogos nanti.

Beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas kerjasama semua atlet, yang mana kejohanan ini telah berlangsung dengan penuh semangat, toleransi, saling menghormati, serta semangat perpaduan yang tinggi dalam kalangan para atlet.
“Anda adalah generasi baharu, generasi yang akan meneruskan warisan Sarawak selepas ini,” katanya.
Beliau meluahkan rasa bangga atas komitmen semua atlet yang beraksi bersungguh-sungguh, menghadapi segala cabaran dan dugaan, serta menunjukkan semangat juang yang tinggi tanpa berputus asa sepanjang pertandingan berlangsung.
“Kita berharap dengan adanya kejohanan ini maka ia dapat memperluaskan lagi sukan hoki ke luar bandar,” kata beliau.
Dalam pada itu, beliau berharap sukan hoki dapat diketengahkan dan diperkembangkan lagi di kawasan luar bandar bagi menarik minat murid-murid sekolah rendah untuk melibatkan diri dalam sukan tersebut.
“Kita berharap dapat melahirkan lebih ramai atlet yang berkaliber dan mencapai tahap kualiti yang tinggi untuk mewakili negeri pada masa akan datang,” ujar Mohd Effendi penuh harapan.
Dalam pada itu seramai 10 atlet bagi kategori lelaki dan perempuan menerima anugerah atas prestasi yang cemerlang sepanjang kejohanan dijalankan.
Penjaga Gol terbaik kejohanan kategori lelaki diraih oleh Andrian Edwin (SMK Marudi), Penjaga Gol terbaik kejohann kategori perempuan, Agnes Enjelesse Frankie (SMK Marudi), penjaring terbanyak kejohanan, kategori lelaki, Mohamad Ariq Hamdan (SMK Marudi), penjaring terbanyak kejohanan kategori perempuan, Meldalinenna Henry (SMK Marudi), pemain tengah terbaik ktegori lelaki, Martin Magat Barin (SMK St Columba), pemain tengah terbaik kategori perempuan, Aisha Dalla Ahmad Saili Fiyri (SM Sains Miri), Penyerang terbaik kategori lelaki, Mohd Ariq Hamdan (SMK Marudi), penyerang terbaik kategori perempuan, Alessandra Aarona Brian (SMK Marudi), pemain pertahanan terbaik kejohanan kategori lelaki, Alexter Tebing Wilson Siba (SMK Marudi) dan pemian pertahanan terbaik kejohanan kategori perempuan, Roliz Robin (SMK Marudi).
Oleh Jiku Juguong