
LIMBANG: 17 pelajar yang ditahan dan disaman dalam Ops Motosikal dan Ops Didik yang dilaksanakan di bandar ini selama dua minggu bermula 18 April lepas didapati tidak mempunyai lesen.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden, Parum Niot berkata operasi yang dijalankan di jalan utama dan kawasan perumahan turut menahan 17 motosikal.
“Sebanyak 120 saman dikeluarkan atas 120 kesalahan jalan raya dalam operasi yang disertai seorang pegawai dan lapan anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang,” katanya dalam sidang media di IPD Limbang, hari ini.
Beliau berkata selain tiada lesen, kesalahan yang dikenalpasti adalah mengubah suai ekzos, ubah suai struktur kenderaan, tiada perlindungan insuran, tiada nombor plat, tiada cermin sisi, tiada penutup rantai, tiada cukai jalan, brek tidak berfungsi dan menunggang motosikal di bawah umur.
Katanya, mereka yang ditahan akan disiasat dan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Parum menasihati ibubapa dan penjaga agar memantau anak-anak mereka dan tidak membenarkan anak-anak mereka mengubah suai kenderaan terutama motosikal dan tidak membenarkan mereka menunggang motosikal tanpa lesen, terutama di bawah umur.
Jelasnya, Ops Didik ini diadakan secara berterusan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat umumnya tentang soal keselamatan dan kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya.
Tegasnya, banyak aduan diterima pihaknya berhubung bunyi bising daripada aktiviti menunggang motosikal terutama pada waktu malam.
Terdahulu Jawatankuasa Keselamatan Jalan Raya Bahagian dalam laporan media sebelum ini memandang serius aduan penduduk di Limbang mengenai aktiviti rempit di daerah itu yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.
Pengerusi JKJR Bahagian Limbang yang juga Residen Limbang Yunus Tambi berkata orang ramai melahirkan kebimbangan menerusi media sosial mengenai aktiviti merempit sambil meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera menangani masalah itu.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Limbang, DSP Peter Jumat dan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD), Inspektor Jafri Junat.
Oleh Adeng Edrus