
BINTULU: Seramai 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam satu operasi bersepadu yang dikenali sebagai Ops Sapu di sekitar bandar Bintulu, semalam.
Operasi bermula 6.00 pagi hingga 3.00 petang itu dilaksanakan Unit Pemantauan Keselamatan dan Penguatkuasaan (UPKP) JIM Sarawak dengan kekuatan tujuh pegawai di dua lokasi hasil risikan awal.
Mereka yang diperiksa terdiri daripada empat wanita, dua lelaki dan 11 kanak-kanak berusia antara sebulan hingga 12 tahun.
Daripada jumlah itu, 13 adalah warganegara Filipina manakala empat lagi warga Indonesia.

Menurut kenyataan JIM Sarawak, kesalahan dikesan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Siasatan awal mendapati mereka masuk ke Sarawak melalui pintu masuk yang tidak diwartakan dan dipercayai diuruskan ejen tempatan dengan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 seorang,” katanya.
Semua warga asing yang ditahan akan dihantar ke Depot Imigresen Bekenu, manakala kanak-kanak bersama penjaga ditempatkan di Baitul Mahabbah Bekenu yang menyediakan persekitaran lebih kondusif kepada tahanan kanak-kanak.
JIM Sarawak akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan keselamatan dan kedaulatan negeri terpelihara.
Oleh Carolyne Utih