MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) mempergiat usaha membanteras kegiatan pembuangan sampah haram dengan mengenal pasti 17 lokasi panas di sekitar bandar raya ini.
Datuk Bandar MBM Adam Yii Siew Sang, berkata pelan tindakan menyeluruh dilaksanakan termasuk kerja pembersihan tapak, pemasangan papan tanda amaran, peningkatan penguatkuasaan, pemantauan berterusan serta penggunaan penghalang fizikal bagi mengelak kejadian berulang.
Menurutnya, daripada 17 lokasi berkenaan, lapan telah berjaya ditambah baik atau ditutup, manakala baki sembilan lokasi masih melalui proses penambahbaikan dan pemantauan secara berperingkat.
“MBM turut mengeluarkan 20 notis amaran dan enam kompaun terhadap individu serta syarikat yang didapati bertanggungjawab melakukan pembuangan sampah haram.


“Menangani isu pembuangan sampah haram merupakan tanggungjawab bersama. Penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi dan kerjasama setiap penduduk amat diperlukan,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis MBM di Dewan Bandaraya Miri hari ini.
Adam Yii berkata tindakan pembuangan sampah haram merupakan satu kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (Kebersihan), 1999, dengan pesalah boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000.
“Orang awam yang menyaksikan kegiatan berkenaan boleh membuat laporan kepada talian am MBM di 085-433501 atau Seksyen Pembersihan Awam dan Penyelenggaraan di 085-442411 pada hari bekerja, dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang,” ujarnya
Aduan juga boleh disalurkan kepada Miri Smart City Command Centre (MSCCC) menerusi 085-424600 atau WhatsApp 019-2144600 yang beroperasi 24 jam.


Selain itu, laporan boleh dibuat melalui aplikasi Miri Cares atau Talikhidmat, dengan MBM memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dilindungi.
Dalam pada itu, Adam Yii berjaya penduduk yang ingin melupuskan barangan rumah bersaiz besar, sisa domestik atau bahan tidak diperlukan dinasihatkan menghubungi MBM untuk mendapatkan khidmat berkaitan.
“MBM turut menyediakan perkhidmatan sewaan lori berkapasiti sehingga lima tan bermula RM80 bagi setiap perjalanan tanpa tenaga kerja, manakala khidmat tenaga kerja tambahan dikenakan RM150,” ujarnya.
Oleh Liong Chai Ling





