PETRA JAYA: Cadangan penambahan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kini memasuki fasa semakan awam selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mula mempamerkan syor persempadanan kawasan pilihan raya di seluruh negeri, hari ini.
Pameran selama sebulan sehingga 30 September itu membolehkan pihak berkepentingan meneliti cadangan berkenaan sebelum mengemukakan representasi, bantahan atau pandangan kepada SPR mengikut proses yang ditetapkan.
Cadangan itu menyaksikan jumlah kerusi DUN Sarawak meningkat daripada 82 kepada 99 kerusi, selain perubahan nama bagi 10 kawasan DUN sedia ada.
Berdasarkan notis SPR bertarikh 26 Ogos 2026, 17 kerusi baharu yang dicadangkan ialah N.02 Jagoi, N.06 Pasir Pandak, N.09 Matang, N.10 Semarak, N.16 Tabuan Jaya, N.19 Maong, N.23 Samarindah, N.26 Sungai Serin, N.53 Igan, N.61 Tanah Mas, N.64 Sungai Merah, N.66 Bukit Kemuyang, N.75 Melekun, N.84 Batu Niah, N.89 Permaisuri, N.90 Tudan dan N.93 Usun Apau.
Bagi cadangan perubahan nama pula, N.01 Opar dicadangkan ditukar kepada N.01 Serayan, manakala N.03 Tasek Birukepada N.03 Singai.
Turut dicadangkan ialah N.27 Tarat kepada N.27 Bung Sadung, N.50 Semop kepada N.50 Muara Lassa, N.52 Jemoreng kepada N.52 Matu, N.67 Bawang Assan kepada N.67 Rassau, N.80 Jepak kepada N.80 Jepak Jaya, N.86 Lambir kepada N.86 Pantai Beraya, N.91 Senadin kepada N.91 Lopeng dan N.98 Ba’kelalan kepada N.98 Gunong Murud.
Notis itu turut menyatakan jumlah 2,037,648 pemilih digunakan bagi tujuan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya Persekutuan dan Negeri Sarawak berdasarkan daftar pemilih yang diperakui dan diwartakan pada 29 Januari 2026.
Bagi P.195 Bandar Kuching, cadangan persempadanan boleh diperiksa di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), manakala kawasan Parlimen lain dipamerkan di pejabat daerah, pejabat residen dan PBT yang ditetapkan di seluruh Sarawak.
Antara perubahan ketara di kawasan bandar ialah cadangan penambahan N.16 Tabuan Jaya di bawah P.195 Bandar Kuching, menjadikan kawasan Parlimen itu mempunyai empat kerusi DUN berbanding tiga ketika ini, iaitu N.13 Padungan, N.14 Pending dan N.15 Batu Lintang.
Di kawasan lain, cadangan kerusi baharu turut melibatkan beberapa kawasan yang kini mempunyai jumlah pemilih yang besar, termasuk N.19 Maong di bawah P.196 Stampin, N.23 Samarindah di bawah P.197 Kota Samarahan, N.64 Sungai Merah dan N.66 Bukit Kemuyang di bawah P.212 Sibu serta N.84 Batu Niah di bawah P.217 Bintulu.
Cadangan N.75 Melekun pula berada di bawah P.215 Kapit, manakala N.93 Usun Apau dicadangkan di bawah P.220 Baram.
Proses semakan awam itu merupakan sebahagian daripada prosedur persempadanan yang ditetapkan di bawah Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.
Pihak yang layak membantah termasuk Kerajaan Sarawak, pihak berkuasa tempatan yang kawasannya terlibat serta sekurang-kurangnya 100 pemilih yang namanya terdapat dalam daftar pemilih bagi kawasan berkenaan.
Sebarang representasi atau bantahan perlu dikemukakan kepada SPR dalam tempoh sebulan selepas tarikh penerbitan notis.
Selepas tempoh itu, SPR boleh menjalankan siasatan tempatan terhadap bantahan yang memenuhi syarat, selain membuat pindaan terhadap cadangan sekiranya perlu sebelum laporan akhir dikemukakan untuk tindakan selanjutnya.
Cadangan penambahan 17 kerusi itu susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 oleh DUN Sarawak pada 7 Julai 2025.
RUU berkenaan memperuntukkan peningkatan jumlah keanggotaan DUN Sarawak daripada 82 kepada 99 kerusi.
Bagaimanapun, pelaksanaan 17 kerusi baharu itu masih tertakluk kepada penyelesaian keseluruhan proses persempadanan dan kelulusan di peringkat Persekutuan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini berkata kerajaan negeri tidak mempunyai masalah sekiranya pilihan raya akan datang masih menggunakan 82 kerusi sekiranya proses 17 kerusi baharu belum dapat diselesaikan.
“Kami tidak ada masalah. Kalau 82, 82-lah. Kalau 99, 99-lah,” katanya.
Dengan bermulanya pameran awam hari ini, tumpuan kini beralih kepada maklum balas terhadap 17 kerusi baharu serta 10 cadangan pertukaran nama DUN, sebelum SPR meneruskan peringkat seterusnya dalam proses persempadanan semula Sarawak.
Oleh Shahrul Qaizat





