
BINTULU: Sebanyak 17 anugerah disampaikan sempena majlis sambutan Maal Hijrah 1447H Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Dewan Suarah Bintulu di sini, hari ini.
Anugerah disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi.
Antara penerima ialah Datu Mohamed Ali Mohd Sheriff (Anugerah Kepimpinan Organisasi), Profesor Madya ChM. Ts. Dr. Norzahir Sapawe (Anugerah Pencapaian Penyelidikan dan Pembangunan) dan Datu Ustaz Khalidi Ibrahim (Anugerah Pendakwah) yang diwakili oleh anaknya, Faiz Irfani Khalidi.
Anugerah Pegawai Awam Islam disampaikan kepada Datu Mersal Abang Rosli manakala Dr. Nicholas Jenek menerima Anugerah Pegawai Awam Bukan Islam.

Dr. Abdul Jabbar Abdullah diumumkan sebagai penerima Anugerah Saudara Kita (Lelaki), manakala Norayu Chen Abdullah menerima Anugerah Saudara Kita (Perempuan).
Anugerah Sukarelawan dimenangi Dr. Morni Abu Samat dan Anugerah Belia disampaikan kepada Muhammad Zhariff Azhari.
Anugerah Keluarga pula diterima oleh Ummie Nurallah Abdullah.
Dalam kategori institusi, Masjid Darussalam, Kampung Baru Darat, Bintulu menerima Anugerah Pengurusan dan Pentadbiran Masjid Terbaik, manakala Surau Darul Iman, Kampung Semerah Padi Fasa II, Kuching menerima Anugerah Surau Terbaik.
Anugerah Sekolah Rendah Agama Cemerlang disampaikan kepada SK Agama Datuk Abdul Kadir Hassan, manakala SMKA Sheikh Haji Othman Abdul Wahab menerima Anugerah Sekolah Menengah Agama Cemerlang.
Bagi kategori pelajar, Muhammad Amiruddin Hamzah menerima Anugerah Pelajar STAM Cemerlang.
Aqiff Abrisham Musa diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajar SPM Cemerlang, manakala Siti Hawa Abdul Kassim menerima Anugerah Pelajar STPM Cemerlang.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha menyifatkan tema sambutan tahun ini ‘Ummah Maju Makmur’ amat bertepatan dengan aspirasi pembangunan negeri dan umat Islam di Sarawak.
Menurunya, sambutan tahun ini juga istimewa kerana bersempena ulang tahun ke-70 penubuhan Majlis Islam Sarawak (MIS) yang telah berkembang menjadi institusi Islam yang mantap dan menyelaras agensi-agensi strategik negeri.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh MIS terhadap pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang digagaskan Premier Sarawak serta menyeru umat Islam agar turut menyumbang dalam bidang pertanian, pendidikan digital, ekonomi halal dan inovasi sosial.
“Maal Hijrah bukan sekadar acara tahunan.
“Ia adalah medan muhasabah dan momentum untuk beralih ke tahap yang lebih baik,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Ujar beliau, umat Islam perlu berhijrah dari kelemahan kepada kekuatan dan terus maju dalam perpaduan serta menjunjung tinggi maqasid syariah demi kesejahteraan ummah.
Oleh Carolyne Utih