
LONG BEDIAN: Sebanyak 17 agensi kerajaan dan 28 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) terlibat pada Sesi Dialog Projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) Fasa 2 di daerah kecil Long Bedian kelmarin.
Sesi dialog tersebut diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala.
Dalam sesi berkenaan, Datuk Gerawat memaklumkan bahawa kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM7.15 bilion bagi pelaksanaan Projek SSLR Fasa 2, yang melibatkan pembinaan jalan sepanjang 335 kilometer dari Mulu ke Limbang, sekali gus menghubungkan kawasan pedalaman.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa tujuan dialog ini diadakan adalah untuk memastikan pihak JKR, Jabatan Tanah dan Survei, serta kontraktor dapat menyampaikan maklumat yang tepat dan lengkap mengenai Projek SSLR Fasa 2 kepada para pemimpin akar umbi.
Gerawat turut berharap agar penduduk di kawasan pedalaman Baram tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat dan mengelirukan, khususnya daripada pihak yang tidak terlibat dalam projek ini dan yang disebarkan secara meluas di media sosial.
“Saya berharap jika ada masalah tentang projek ini kita perlu mencari penyelesaian yang adil dan saksama diperingkat akar umbi,” katanya.
Tegas beliau permulaan kerja-kerja untuk projek SSLR Fasa 2 ini akan bermula penghujung tahun ini dan kita juga telah memohon kepada kerajaan untuk menaik taraf jalan balak dari Lapok ke kilometer 10 dan seterusnya ke Long Banga dan Bario.
Katanya, beliau sebagai wakil rakyat bersama Dato Anyi Ngau dan Dato Dennis Ngau sentiasa berusaha dan mohon kepada pihak kerajaan untuk menaik taraf jalan bekas jalan balak ke rumah panjang di pedalaman Ulu Baram.
Menurut beliau Premier Sarawak juga telah memberi RM1.5 bilion kepada Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) untuk menaik taraf jalan balak yang mana RM1.2 bilion dibelanjakan untuk naik taraf lebih 20 bekas jalan balak termasuk jambatan.
Gerawat berkata beliau bersama wakil rakyat lain rasa gembira kerana KMKK di Baram memberi sokongan kepada pembinaan projek SSLR Fasa 2 berkenaan kerana projek ini menurut beliau memberi manfaat untuk masa depan generasi mendatang.
Pada dialog tersebut Gerawat mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Masyarakat dianggotai wakil dari JKR, Jabatan Tanah dan Survei, pejabat daerah dan kontraktor untuk mewujudkan satu pejabat sama ada di daerah kecil Long Bedian atau daerah Long Lama bagi memudahkan rakyat tempatan memberi aduan berhubung masalah dan isu yang mereka hadapi.
“Kita ingin memudahkan proses perhubungan dengan rakyat dan menyelesaikan masalah lebih teratur dan cepat supaya projek SSLR tidak terganggu,” tambahnya.
Turut hadir pada dialog tersebut Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau, ADUN Telang Usan, Dennis Ngau, wakil Pengarah JKR Sarawak Ir Toh Chee Liong dan Residen Bahagian Miri, Galong Luang.
Oleh Jiku Juguong