JULAU: Seramai 162 orang, termasuk guru dan pelajar, telah mengambil bahagian dalam Program Jalinan Kasih Kesedaran Keselamatan yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pakan, kelmarin.
Program ini dianjurkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau dengan kerjasama SMK Pakan.
Menurut kenyataan di laman Facebook rasmi Polis IPD Julau, program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai pelbagai isu keselamatan, termasuk jenis-jenis dadah dan kesan penyalahgunaannya.
Selain itu, para peserta juga diberi penerangan tentang keselamatan jalan raya, trend jenayah terkini, serta langkah-langkah pencegahan.
“Pendedahan mengenai perbuatan buli, ponteng, dan salah laku turut diberikan, serta impak emosi yang timbul akibat masalah buli di kalangan pelajar.
“Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk booth pameran dan ceramah yang melibatkan agensi seperti PDRM Julau, KKM Pakan, Jabatan Penerangan Pakan, dan AADK Sarikei.
“Program ini juga menekankan pentingnya pemakanan sihat dalam kalangan pelajar untuk meningkatkan taraf kesihatan mereka,” kata kenyataan itu.
Inisiatif seperti ini, katanya, akan kerap dilakukan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak PDRM dengan guru dan pelajar.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Ketua Polis Daerah Julau, DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah; Pengetua SMK Pakan, Nisi Naung, dan Pegawai Tadbir Daerah Pakan, Janet Boondar.
Oleh Tarani Lanting