
SIBU: Seramai 160 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan menerima cermin mata percuma menerusi program Clear Vision, Bright Future.
Program ini adalah hasil kerjasama Komuniti Madani Norkiah, Pusat Khidmat Parti Demokratik Progresif (PDP) Bawang Assan, dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sungai Empawah.
Program ini khusus bertujuan membantu pelajar yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan, namun mengalami masalah penglihatan dan tidak mampu mendapatkan rawatan atau cermin mata sendiri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato’ Sri Wong Soon Koh, berkata saringan mata yang dijalankan mendapati ramai pelajar dari golongan ini mengalami rabun yang serius dan memerlukan bantuan cermin mata untuk meningkatkan kualiti pembelajaran mereka.
“Penglihatan yang jelas adalah sangat penting bagi pelajar supaya mereka dapat memberi tumpuan penuh dalam kelas.
“Inisiatif seperti program ini sangat bermakna bagi mereka yang kurang berkemampuan dan perlu terus diperkasakan,” katanya pada majlis penyerahan cermin mata yang berlangsung di sini, hari ini.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut, termasuk petugas kesihatan, guru, kakitangan sekolah dan ibu bapa.
Sementara itu, Pengerusi PDP Bawang Assan dan Pengerusi Komuniti Madani Norkiah, Kaunselor Wong Hua, berkata program ini tercetus selepas pihak sekolah melaporkan ramai pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah menghadapi masalah penglihatan yang mengganggu pembelajaran mereka.
“Ada pelajar yang tidak dapat melihat dengan jelas tulisan di papan putih dan menghadapi kesukaran mengikuti pelajaran, tetapi kerana kekangan kewangan, mereka tidak berupaya membeli cermin mata,” katanya.
Menurutnya, inisiatif ini diharap menjadi titik permulaan kepada lebih banyak usaha membantu pelajar dari keluarga kurang berkemampuan supaya mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran.
“Mata seorang kanak-kanak bukan sahaja untuk melihat dunia, tetapi juga sebagai jendela harapan mereka,” tambahnya.
Oleh Akun Giman