
PAKAN: Seramai 160 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Wak didedahkan kepada ilmu keselamatan kebakaran melalui program interaktif merangkumi ceramah serta demonstrasi pemadaman api.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata program tersebut bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid sekolah rendah mengenai langkah-langkah keselamatan kebakaran serta cara bertindak dengan betul sekiranya berlaku kecemasan.
“Program yang bermula dari 2.00 petang hingga 4.30 petang pada Khamis lalu melibatkan dua orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor sebagai fasilitator utama.
“Ceramah keselamatan kebakaran memberi penekanan kepada kefahaman asas seperti bahaya bermain api, kepentingan mengenali laluan keluar serta tindakan menyelamat diri ketika menghadapi situasi kebakaran.

“Selain ceramah, murid turut diberi peluang menyaksikan demonstrasi pemadaman api menggunakan alat pemadam api sebagai latihan praktikal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, murid-murid juga berpeluang mengendalikan alat pemadam api dengan cara yang betul.
“Pendekatan ini membantu mereka memahami fungsi dan cara penggunaan alat pemadam dengan betul.
“Program kesedaran seperti ini penting bagi membentuk budaya peka keselamatan dalam kalangan murid sejak usia muda.
“Pendedahan awal dapat membantu meningkatkan keyakinan mereka ketika berhadapan situasi kecemasan serta memberi kesan positif kepada keselamatan komuniti sekolah,” katanya.
Tambahnya, program berjalan lancar dan menerima kerjasama baik daripada pihak sekolah sepanjang program dijalankan.
Oleh Earl Anek