
Penduduk menunggang motosikal melepasi kebakaran hutan di Karya Indah, wilayah Riau, Indonesia. - Foto AFP
JAKARTA: Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia mengenal pasti 16 individu sebagai suspek dalam kes kebakaran hutan dan tanah yang disyaki sengaja dilakukan, ketika negara itu bergelut menangani peningkatan kejadian kebakaran di beberapa wilayah.
Ketua BNPB, Leftenan Jeneral Suharyanto, berkata 11 lagi kes masih dalam siasatan, dengan semua proses perundangan dijalankan mengikut undang-undang negara.
Beliau menegaskan, tindakan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan seiring dengan operasi pemadaman kebakaran bagi memastikan tindak balas yang menyeluruh dan terkoordinasi.
“Pasukan petugas undang-undang telah mengambil tindakan dengan menamakan 16 suspek. Seiring dengan pemadaman kebakaran, operasi penguatkuasaan undang-undang memastikan tindak balas yang terkoordinasi,” katanya dalam kenyataan.
Suharyanto menyatakan bahawa kebakaran hutan dan tanah menjejaskan semua daerah dan bandar di Riau, dengan Bengkalis dan Kampar paling teruk terjejas, dengan lebih 100 hektar tanah terbakar di kedua-dua kawasan itu.
Secara keseluruhan, 12 kawasan telah terjejas, termasuk Rokan Hilir, Siak dan Indragiri Hilir, dengan lebih 50 hektar musnah dalam kebakaran, tambahnya.
Bagi memperkukuh usaha pemadaman kebakaran, beliau berkata dua helikopter peronda dikerahkan manakala jumlah helikopter pengebom air ditambah kepada lima.
Pasukan darat turut diperkukuh dengan peralatan tambahan dan motosikal khas bagi pemadaman kebakaran hutan, selain penambahan anggota tentera dan polis dari Riau. – Bernama.