
BETONG: Sambutan Hari Malaysia yang disambut pada hari ini kembali mengingatkan rakyat tentang detik bersejarah pada 16 September 1963, apabila Persekutuan Tanah Melayu bergabung dengan Sabah dan Sarawak membentuk sebuah negara berdaulat bernama Malaysia.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata penyatuan itu melahirkan semangat perpaduan yang menjadi asas kepada keamanan, kemakmuran dan keharmonian yang dinikmati rakyat sehingga kini.
Menurut beliau, Hari Malaysia bukan sekadar sambutan tahunan, sebaliknya simbol pengorbanan generasi terdahulu yang berjuang memastikan Sabah dan Sarawak bersama-sama membina sebuah negara bangsa yang kuat dan bersatu.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti terus mengekalkan semangat patriotisme, menghargai jasa pejuang dan bersama memacu negara ini ke arah lebih maju serta disegani di peringkat antarabangsa,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Malaysia, hari ini.
Beliau juga mengingatkan bahawa perpaduan berbilang kaum dan agama adalah kekuatan utama Malaysia yang perlu dipelihara daripada anasir perpecahan.
Dalam pada itu, Dr Richard turut menasihati orang ramai yang pulang ke kampung sempena cuti panjang agar mengutamakan keselamatan di jalan raya, mematuhi peraturan trafik dan mengelak sikap cuai ketika memandu.
“Gunakan masa cuti ini untuk mempererat hubungan kekeluargaan dengan aktiviti yang bermanfaat, kerana keluarga adalah asas kepada pembentukan masyarakat yang sejahtera,” tambahnya.
Oleh Adi Safarman