
KUALA LIMPUR: Minggu ketiga persidangan Dewan Rakyat menyaksikan 16 kementerian selesai menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja yang bermula Rabu, selepas dua minggu usul itu dibahaskan Ahli Parlimen.
Sesi penggulungan dimulakan Kementerian Kewangan diikuti tujuh kementerian lain antaranya Kementerian Komunikasi, Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, disusuli lapan lagi kementerian termasuk Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan pada Khamis.
Persidangan Dewan Rakyat juga tertumpu kepada sesi penerangan khas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diadakan pada Rabu bagi memperjelaskan isu penjajaran sempadan Malaysia-Indonesia di kawasan Sabah dan Kalimantan.
Anwar menjelaskan penentuan jajaran sempadan dengan negara jiran itu tidak bersandarkan prinsip pampasan, timbal balik atau untung rugi, sebaliknya ia sepenuhnya berdasarkan konvensyen antarabangsa, undang-undang dan perjanjian yang telah dimeterai, melibatkan dua konvensyen dan satu perjanjian utama bagi sempadan keseluruhan Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata ia melibatkan Konvensyen Persempadanan 1891 antara Kerajaan British dan Kerajaan Belanda bagi keseluruhan Sabah dan Sarawak, Perjanjian Persempadanan 1915antara Kerajaan British dan Kerajaan Belanda khusus bagi Sabah serta Konvensyen Persempadanan 1928 yang ditandatangani di The Hague pada 26 Mac 1928 bagi sebahagian kecil sektor di Sarawak.
Tegas Perdana Menteri, dakwaan bahawa Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan adalah tidak benar dan berunsur penipuan.
“Hasil pengukuran dan penandaan semula sempadan Malaysia dan Indonesia bagi Masalah Sempadan Tertangguh (OBP) di Sungai Sinapad dan Sungai Sesai membolehkan Malaysia memperoleh tambahan kawasan seluas 780 hektar.
“Tambahan kawasan itu menjadikan Kampung Kabulangalor, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas kini berada dalam wilayah Malaysia,” katanya.
Minggu ini Dewan Rakyat tidak bersidang pada Isnin dan Selasa berikutan cuti ganti bagi sambutan perayaan Thaipusam dan Hari Wilayah.
Sepanjang dua hari persidangan itu, Ahli Parlimen membangkitkan pelbagai isu dan dijawab oleh menteri serta timbalan menteri antaranya soal nasib Orang Asli yang dikhuatiri terpinggir susulan perlaksanaan pendigitalan perkhidmatan, status pengambilalihan Pelabuhan Bintulu, faedah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta cadangan mewujudkan lesen khas perniagaan atas talian.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah berkata bantuan SARA disalurkan dalam bentuk kredit melalui kad pengenalan dan boleh digunakan di kedai berdaftar sebagai rakan niaga bagi membeli 14 kategori barangan keperluan asas.
“Nilai transaksi perbelanjaan SARA di pasaran tempatan mencecah RM4.8 bilion sepanjang 2025, dengan 99 peratus penerima menggunakan kemudahan itu,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kerajaan memberi jaminan bahawa setiap dasar atau pendekatan dilaksanakan termasuk proses pendigitalan perkhidmatan khususnya dalam bidang keselamatan tidak akan menjejaskan kepentingan serta masa depan masyarakat termasuk Orang Asli.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula bercadang mewujudkan satu kerangka penyelesaian pertikaian yang lebih komprehensif melalui platform penyelesaian pertikaian dalam talian (ODR) bersepadu.
Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 20 hari hingga 3 Mac ini. – Bernama