



SERAMAI 16 finalis telah dipilih oleh Pertubuhan Miss Universe Malaysia (MUMO) untuk bersaing merebut gelaran Miss Universe Malaysia 2025 pada September. Pengarah kebangsaan MUMO Charissa Chong berkata senarai akhir peserta dipilih menerusi gabungan undian daripada panel hakim profesional dan orang ramai, berikutan uji bakat secara peribadi dan dalam talian yang diadakan pada Jun. Finalis ialah: Bhadrani Nagendran, 27; Chloe Chin, 24; Chloe Lim, 27; Elaine Cheah, 26; Elina Cheah, 24; Jen Li, 28; Joey Leng, 25; Kavita Sanglish, 26; Keerthanaah Parthipan, 25; Malveen Kaur, 31; Priscilla Yap, 25; Priyaa Simmi, 30; Priyanka Sockanathan, 24; Dr Ranmeet Jassal, 33; Tan Su Jie, 25; dan Valenice Tiong, 36. Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seramai 16 finalis telah dipilih oleh Miss Universe Malaysia Organisation (MUMO) untuk bersaing merebut gelaran Miss Universe Malaysia 2025 yang akan diadakan pada September depan.
Pengarah Nasional MUMO Charissa Chong berkata senarai akhir finalis itu dipilih menerusi kombinasi undian panel juri profesional dan orang awam selepas sesi uji bakat yang diadakan secara fizikal serta dalam talian pada Jun lepas.
Mereka yang terpilih ialah Bhadrani Nagendran, 27; Chloe Chin, 24; Chloe Lim, 27; Elaine Cheah, 26; Elina Cheah, 24; Jen Li, 28; Joey Leng, 25; Kavita Sanglish, 26; Keerthanaah Parthipan, 25; Malveen Kaur, 31; Priscilla Yap, 25; Priyaa Simmi, 30; Priyanka Sockanathan, 24; Dr Ranmeet Jassal, 33; Tan Su Jie, 25 dan Valenice Tiong, 36.
Chong berkata menjelang minggu pertandingan, para finalis akan menjalani program intensif selama dua minggu yang merangkumi sesi mentor, bengkel pembangunan diri, pengucapan awam, kecergasan dan pelbagai aktiviti lain bagi mempersiapkan mereka ke pentas antarabangsa.
Mengangkat slogan ‘Redefining Your Journey’, Chong berkata pertandingan itu bukan lagi sekadar soal rupa, tetapi sebuah platform untuk melahirkan wanita yang berani dan autentik dalam membawa suara serta identiti mereka ke peringkat global.
“Wawasan saya jelas, iaitu untuk memupuk bukan hanya ‘ratu’ di atas pentas dan gaya, tetapi juara dari segi memperjuangkan isu dan perubahan,” katanya pada sidang media memperkenalkan 16 finalis Miss Universe Malaysia 2025, di sini semalam.
Seorang daripada finalis, Dr Ranmeet berkata penyertaannya dalam Miss Universe Malaysia 2025 membawa misi besar, iaitu sebagai suara kepada golongan ibu agar terus mengejar impian tanpa mengira batas usia atau status perkahwinan.
Katanya, penyertaan wanita bergelar ibu mencerminkan perubahan positif dalam pertandingan ratu cantik dan mengangkat suara kaum ibu untuk tampil dengan keyakinan dan keaslian.
Bagi Priyanka pula, penyertaannya bertujuan keluar dari zon selesa dan membuktikan bahawa wanita bertubuh ‘curvy’ (berlekuk) juga mampu bersinar di pentas ratu cantik.
“Sejak kecil, saya jarang melihat wanita bertubuh seperti saya dalam majalah, filem atau media. Oleh itu, saya buat keputusan menyertai pertandingan ini, bukan untuk diri sendiri, tetapi demi masyarakat yang percaya kecantikan wujud dalam pelbagai bentuk.
“Melalui advokasi ‘body positive’, saya mahu menggunakan platform ini untuk menyebarkan mesej bahawa kita tidak perlu berubah untuk mengejar impian. Kita tetap boleh berjaya walaupun menjadi diri sendiri,” katanya.– Bernama