
SARIKEI: Sebanyak 158 pintu rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok menerima telah menerima projek pintu.
Projek pintu tersebut diserahkan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii semasa lawatan ke beberapa rumah panjang, baru-baru ini.
Lawatan melibatkan Rumah (Rh) Ngelai Ampawi, Rh Bajut Pak, Rh Clement Asuh dan Rh Limbang Maleng bagi meninjau keperluan semasa penduduk di samping menyampaikan bantuan pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.

Beliau turut meninjau pelaksanaan beberapa projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang memberi tumpuan kepada peningkatan kemudahan asas di kawasan rumah panjang.
Antara projek yang dilaksanakan termasuk kerja menyimen kawasan hadapan rumah panjang di Rh Ngelai Ampawi, menaik taraf sistem perparitan di Rh Bajut Pak bagi mengatasi masalah saliran, kerja pengalihan tiang elektrik serta pembinaan tembok batu di hadapan rumah panjang dan pembinaan jalan premix ke Rh Clement Asuh bagi meningkatkan keselesaan serta keselamatan penduduk setempat.
Katanya, pelaksanaan projek pembangunan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memastikan kemudahan asas luar bandar terus dipertingkatkan selaras agenda pembangunan seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar.
“Pembangunan infrastruktur seperti jalan, sistem perparitan dan penambahbaikan rumah panjang amat penting dalam memastikan penduduk rumah panjang dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan selamat,” katanya.

Sementara itu, Tuai Rumah (Tr) Clement Asuh merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas keprihatinan berterusan terhadap pembangunan luar bandar khususnya di kawasan rumah panjang.
Katanya, pelbagai inisiatif pembangunan yang dilaksanakan kerajaan Sarawak telah membawa perubahan positif kepada kehidupan penduduk setempat termasuk dari segi kemudahan asas dan jaringan perhubungan.
Pada masa sama, semua tuai rumah yang hadir turut menzahirkan penghargaan kepada Dato’ Sri Huang Tiong Sii atas sokongan serta usaha berterusan beliau dalam membantu meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan penduduk rumah panjang di kawasan tersebut.
Turut hadir ialah Tr Uding Tawi, Tr Yip Mee Fong, Tr Merikan Utik, Tr Pong Ujang, Tr Wanny Bunyau, Tr Sebastian Demang, Tr Liman Ubak, Tr Chan Ming Gat, Tr Layang Liban, Tr Ayu Panting dan Tr Gani Ngagit.
Oleh Earl Anek