KABONG: Sebanyak 1,554 pek air bersih dan minuman dihantar kepada penduduk di dua kawasan terjejas akibat kemarau di Daerah Kabong, hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu, berkata penghantaran bantuan itu memasuki hari kedua dan dilaksanakan sebagai langkah segera bagi memenuhi keperluan harian penduduk yang terjejas.
Beliau berkata, bantuan berkenaan dihantar ke Kampung Hulu Laut yang menerima sebanyak 818 pek, manakala Kampung Hilir Darat Simpang Empat Darat menerima 736 pek.
“Penghantaran bantuan air bersih dan minuman ke kawasan terjejas akibat kemarau berjalan lancar dan selamat.
“Bantuan ini diberikan sebagai langkah segera untuk membantu memenuhi keperluan harian penduduk sementara menunggu bekalan air kembali pulih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi bermula pada 7.00 pagi dan berakhir pada 4 petang, dengan ketibaan pasukan di lokasi pada kira-kira 8.00 pagi.
Operasi berkenaan turut mendapat kerjasama pelbagai agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kabong, termasuk 17 anggota APM, tiga anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan 11 Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kabong.
Nur Athirah berkata, kesemua isi rumah yang terlibat turut menerima pek minuman yang diserahkan oleh pihak JKM.
“Penyerahan air akan diteruskan pada esok hari bagi memastikan keperluan penduduk di kawasan terjejas terus diberi perhatian,” katanya.
Oleh Adi Safarman





