PETRA JAYA: Seramai 155 individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Negeri Sarawak sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan serta khidmat bakti mereka kepada negeri dan masyarakat.
Penyampaian disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di Dewan Besar, Astana Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 14 individu menerima Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K.), 23 Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B.), 15 Ahli Bintang Sarawak (A.B.S.), 21 Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K.), 39 Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T.) dan 43 Pingat Bentara Bintang Sarawak (B.B.S.).
Antara penerima A.B.S. ialah Datin Nancy Kuyor, manakala penerima P.B.K. termasuk Pemangku Pegawai Daerah Bukit Mabong Jabang Juntan, Pegawai Daerah Sri Aman Shariff Bujang, Pakar Perunding Radiologi Klinikal Pusat Pakar Perubatan Normah Dr Bujang Julaihi dan Timbalan Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Kueh Li Li.
P.B.K. turut dikurniakan secara anumerta kepada Allahyarham Zamzuri Mahdi yang diwakili Siti Suhaila Madji.
Turut menerima P.B.K. ialah Dr Emmanuel Joseph Fong Tsung, Hasanal Abdul Wahid, Tan Chee Kang dan Sagu Unting.
Bagi P.P.B., antara penerima ialah Leftenan Kolonel Denis Kueh Abdullah, Superintendant Kamis Sulong, Profesor Madya UiTM Kampus Mukah, Dr Tang Howe Eng dan Zalila @ Azalilah Kassim.


ISTIADAT… Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyampaikan darjah kebesaran, bintang dan pingat Negeri Sarawak kepada penerima pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di Dewan Besar, Astana Negeri Sarawak, hari ini. Foto JAPEN
Turut menerima P.P.B. ialah Ketua Bahagian Warisan dan Industri Kreatif Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) merangkap Profesor Madya Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Profesor Madya Dr Elena Gregoria Chai Chin Fern, Dr Lee Beng Yong, Lau Ngie Tung dan Alexander Wong.
Sementara itu, A.B.K. diterima Mohamad Idres Rosli dan Awangku Nassir Awangku Kerta bersama penerima lain.
P.P.T. pula diberikan kepada Pegawai Penerangan Daerah Saratok Florence Sebastian Unting, Ng Chip Kiang, Pegawai Hal Ehwal Islam, Ustaz Omar Mat; Mulyani Nong Che’ dan Mariani Sebawi.
B.B.S. pula diberikan kepada Awang Habiburllah Awang Ismail bersama 42 penerima lain.
Penyampaian itu mencerminkan penghargaan negeri terhadap sumbangan individu daripada pelbagai latar belakang, termasuk dalam bidang perkhidmatan awam, keselamatan, kesihatan, pendidikan dan pembangunan masyarakat.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah serta beberapa Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak dan ketua jabatan.
Antara yang hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Harry Jinep serta kenamaan lain.





