SIBU: Seramai 153 murid dan guru daripada pelbagai badan beruniform menyertai Kursus Asas Rekreasi Perkhemahan dan Kursus Asas Rekreasi Pengendalian Tali anjuran Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu (KKSRCS) sempena National Training Week (NTW) 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bahagia Jaya, baru-baru ini.
Program kemahiran luar bilik darjah itu menghimpunkan peserta daripada Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM), Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Persekutuan Pengakap Malaysia, Pandu Puteri Tunas dan Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) dengan objektif memperkukuh kemahiran asas rekreasi serta ikhtiar hidup.
Sesi latihan dikendalikan Pensyarah Rekreasi Program Sijil Pengembaraan Pelancongan (SPL), Ahmad Shuhaib Hamali, dengan dibantu empat pensyarah dan 16 pelajar SPL yang bertindak sebagai fasilitator bagi memastikan setiap peserta memperoleh pendedahan secara praktikal.
Sepanjang kursus, peserta didedahkan kepada teknik penjagaan tali, pelbagai jenis simpulan dan ikatan asas, selain latihan mendirikan khemah jenis kubah. Penekanan turut diberikan terhadap aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti rekreasi di alam semula jadi.
Guru Besar SK Kampung Bahagia Jaya, Hamdi Najdi berkata, program seumpama itu memberi manfaat besar dalam membentuk sahsiah dan kepimpinan murid sejak di bangku sekolah.
“Impak program ini melangkaui aktiviti fizikal semata-mata. Program ini menjadi pemangkin dalam membina jati diri pelajar, memupuk semangat kerja berpasukan serta membekalkan ahli badan beruniform dengan kemahiran ikhtiar hidup dan kepimpinan yang terus relevan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, pendedahan awal terhadap kemahiran rekreasi merupakan satu pelaburan penting dalam melahirkan generasi yang berdaya tahan, berdisiplin dan mampu menghadapi pelbagai cabaran.
Menurutnya, penganjuran program itu turut mencerminkan aspirasi ‘TVET untuk Semua’ yang diperjuangkan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam memperluaskan akses kepada pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), sekali gus membuktikan komitmen KKSRCS dalam merakyatkan kemahiran praktikal kepada semua lapisan masyarakat.
Oleh TARANI LANTING




