

PAKAN: Seramai 152 murid menyertai program kesedaran keselamatan kebakaran yang dianjurkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Babai bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai aspek keselamatan serta tindakan kecemasan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, program yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu dikendalikan oleh empat anggota bomba.
Menurut beliau, program tersebut bertujuan memberi pendedahan awal kepada warga sekolah mengenai langkah keselamatan kebakaran serta prosedur menyelamatkan diri sekiranya berlaku kecemasan.
“Program ini memberi peluang kepada murid untuk memahami tindakan yang perlu diambil ketika berdepan situasi kebakaran serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.
“Pendidikan dan kesedaran mengenai keselamatan kebakaran perlu diterapkan sejak di bangku sekolah agar budaya keselamatan dapat dipupuk dalam kalangan generasi muda,” katanya ketika dihubungi.
Antara pengisian utama program ialah latihan pengungsian bangunan dan latihan kebakaran yang memberi pengalaman praktikal kepada murid mengenai prosedur pemindahan kecemasan.
Selain itu, peserta turut mengikuti ceramah kesedaran keselamatan kebakaran yang menerangkan punca kebakaran serta langkah pencegahan yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.
Murid sekolah itu juga didedahkan dengan demonstrasi penggunaan alat pemadam api serta demonstrasi pemadaman kebakaran dapur yang kerap berlaku di kediaman.
“Pendedahan seperti ini penting supaya orang ramai mengetahui kaedah yang betul untuk bertindak pada peringkat awal sebelum bantuan kecemasan tiba,” katanya.
Tambahnya, program tersebut turut dimeriahkan dengan pameran jentera dan peralatan bomba yang memberi peluang kepada murid mengenali fungsi serta peranan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Selain itu, aktiviti Celik Suri yang diadakan turut membantu meningkatkan kefahaman peserta mengenai aspek keselamatan dan pencegahan kebakaran di rumah.
“Kami akan terus melaksanakan program kesedaran seperti ini dari semasa ke semasa bagi memperkukuh budaya keselamatan dalam kalangan masyarakat serta mengurangkan risiko kebakaran,” katanya.
Oleh Earl Anek

Usahawan wanita Bukit Saban disaran perkasa produk, tembusi pasaran antarabangsa
SPAOH, 18 Oktober: Usahawan wanita di kawasan Bukit Saban perlu berani melangkah ke pasaran lebih luas dengan meningkatkan kualiti produk,

Karaoke Bukit Saban cungkil bakat, 23 peserta sertai dua saringan awal
SPAOH, 18 Oktober: Pertandingan Karaoke Tertutup Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban terus membuka peluang kepada penduduk tempatan untuk mengetengahkan

Ketua Kaum, JKKK tonggak penyampaian suara rakyat kepada kerajaan
LUBOK ANTU, 18 Oktober: Peranan Ketua Kaum dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terus diperkukuh menerusi penganjuran Program Memperkasakan

500 usahawan berhimpun di Spaoh, wanita luar bandar digalak teroka peluang perniagaan
SPAOH, 18 Oktober: Kira-kira 500 usahawan dan anggota komuniti dari Betong serta Spaoh menyertai Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti MARA

