
KUCHING: Sebanyak 15,000 permohonan Bantuan Kewangan Khas Pelajar Sarawak di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia telah diluluskan dengan sebahagian mereka telah menerima bantuan berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi hantaran di Facebook berkata pembayaran akan dibuat secara berperingkat kepada baki penerima.
“Secara keseluruhan, sebanyak 42,000 pelajar anak Sarawak akan menerima manfaat daripada bantuan ini melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM50.5 juta,” katanya.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Pelancaran Bantuan Kewangan Khas Pelajar Sarawak di Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia yang dirasmikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kuala Lumpur hari ini.
Fadillah berkata inisiatif berkenaan bertujuan memperkenalkan pemberian Bantuan Wang Saku sebanyak RM1,200 kepada semua pelajar yang berasal dari Sarawak yang sedang melanjutkan pengajian di IPT, tanpa mengira latar belakang keluarga mahupun tahap pendapatan.
Langkah itu ialah satu manifestasi jelas komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan tiada yang tercicir dalam menempuh alam pengajian tinggi akibat kekangan kewangan, katanya.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Premier Sarawak atas keprihatinan dan kepimpinan beliau dalam meluluskan bantuan tok (ini).
“Ia pastinya dapat meringankan beban kewangan ibu bapa, selain membantu para pelajar menampung perbelanjaan harian semasa menuntut ilmu,” katanya.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata selain Bantuan Wang Saku, kerajaan Sarawak turut melaksanakan pelbagai inisiatif lain seperti pemberian komputer riba percuma dan baucar buku kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Pada masa yang sama, beliau berkata inisiatif subsidi tiket penerbangan di bawah program Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (IGPS) yang bernilai RM300 turut ditawarkan, dan boleh dimohon sebanyak dua kali setahun.
“Semua inisiatif ini ialah hasil daripada dasar pembangunan ekonomi Sarawak yang mampan dan inklusif.
“Pendapatan negeri yang semakin kukuh telah diterjemahkan dalam bentuk program kebajikan dan pendidikan yang memberikan manfaat terus kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata inisiatif itu bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga lambang kesungguhan kerajaan Sarawak dalam memastikan tiada yang tertinggal dalam arus pembangunan. – Bernama