

SIBU: Sebanyak 1,500 ekor ayam diagihkan kepada wanita di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa di CCK Local di sini, hari ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang berkata, inisiatif tahunan itu dilaksanakan sebagai tanda penghargaan terhadap peranan besar wanita dalam membina masyarakat.
“Kami mengagihkan ayam kepada semua wanita di kawasan saya, Pelawan sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mereka.
“Untuk tahun ini, sebanyak 1,500 ekor ayam diagihkan, iaitu peningkatan berbanding tahun lalu yang hanya melibatkan 1,000 ekor ayam,” katanya ketika ditemui pemberita pada program tersebut.
Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata, wanita terus menyumbang dalam pelbagai aspek pembangunan masyarakat, khususnya dalam membina institusi keluarga dan mendidik generasi masa depan.
“Anak-anak menerima sokongan serta kasih sayang daripada ibu, manakala dalam keluarga juga wujud sokongan antara suami dan isteri yang menjadi asas kekuatan institusi keluarga,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada CCK Local sebagai rakan tempatan yang turut menyokong program berkenaan dengan menaja sebahagian daripada ayam yang diagihkan.
“Penganjuran program kali ini turut ditambah baik bagi memudahkan orang ramai mengambil ayam yang diagihkan tanpa perlu beratur panjang atau menunggu lama,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Wanita Antarabangsa kepada semua wanita.
Oleh Tarani Lanting