

PAMERAN… Para murid SJKC Yuk Kung melihat dengan lebih dekat peralatan menyelamat yang dipamerkan oleh pihak bomba sempena program sekolah selamat. Foto BBP Bintangor
JULAU: Seramai 150 warga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Kung telah menyertai program sekolah selamat yang melibatkan kerjasama dengan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata program tersebut bermula 8.30 pagi hingga 1.30 petang, baru-baru ini.
“Alhamdulillah, pameran peralatan menyelamat pihak kami mendapat sambutan hangat daripada warga sekolah.


PAMERAN… Para murid SJKC Yuk Kung melihat dengan lebih dekat peralatan menyelamat yang dipamerkan oleh pihak bomba sempena program sekolah selamat. Foto BBP Bintangor
“Dua orang anggota bomba hadir bagi mengendalikan pameran yang menampilkan pelbagai peralatan penyelamat seperti hos, peralatan pernafasan serta kelengkapan operasi yang sering digunakan semasa kecemasan,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, melalui pameran tersebut, para murid berpeluang melihat lebih dekat fungsi alat penyelamat, malah diberi penerangan terus oleh anggota bomba mengenai cara penggunaannya dalam situasi sebenar.
“Penglibatan pihak kami dalam program anjuran sekolah merupakan usaha berterusan mendidik masyarakat sejak di bangku sekolah.
“Melalui pameran ini, para murid bukan sahaja dapat melihat sendiri alat menyelamat yang digunakan semasa operasi kecemasan, malah mereka turut diberi pengetahuan asas keselamatan yang penting dalam kehidupan seharian,” ujarnya.
Tambah beliau, kerjasama dengan pihak sekolah amat penting kerana ia dapat memperkukuh budaya keselamatan di peringkat akar umbi, di samping mewujudkan kesedaran awal dalam kalangan generasi muda.
Oleh Earl Anek