
PAKAN: Seramai 150 penduduk Rumah Salang Luing, Ulu Nunggang telah menyertai program kesedaran keselamatan kebakaran, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata program tersebut bermula 10.00 pagi hingga 1.00 petang.
“Ia memberi fokus kepada usaha mendidik komuniti luar bandar mengenai langkah-langkah keselamatan kebakaran serta tindakan pantas ketika berdepan kecemasan.
“Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memperkukuh kesedaran awam terhadap pencegahan kebakaran.

“Kita mahu masyarakat di kawasan luar bandar memahami pentingnya aspek keselamatan kebakaran, terutamanya bagi penghuni rumah panjang yang berisiko tinggi sekiranya insiden kebakaran berlaku,” katanya.
Mahmudin berkata demikian ketika dihubungi media, hari ini.
Katanya, antara pengisian aktiviti adalah ceramah kesedaran keselamatan kebakaran, demonstrasi pemadaman api menggunakan alat pemadam, pengendalian kebakaran dapur dan pameran peralatan bomba.
“Pendekatan secara teori dan praktikal seperti ini memberi peluang kepada masyarakat untuk belajar secara langsung teknik pemadaman api serta cara mengelakkan kebakaran berpunca daripada kecuaian di dapur.
“Kesedaran awal dan pengetahuan asas mengenai keselamatan kebakaran amat penting dalam meminimumkan risiko kehilangan nyawa serta kerugian harta benda.
“Pencegahan sentiasa lebih baik daripada pemadaman. Menerusi ilmu dan kesedaran yang betul, masyarakat dapat bertindak pantas dan bijak apabila berdepan kecemasan,” ujarnya.
Oleh Earl Anek