KRIAN: Sokongan akar umbi terhadap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus mengukuh apabila seramai 150 ahli baharu diterima menyertai PBB Cawangan Krian.
Borang permohonan keahlian baharu itu diterima sempena Program Santai Segulai Sejalai yang berlangsung di Rumah Elai, Nanga Entaih, Ulu Krian, semalam.
Program itu dihadiri Ketua Cawangan PBB Krian, Bell Bernard Aggan, bersama barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) cawangan dan ahli-ahli parti.
Program tersebut menjadi platform untuk kepimpinan parti mendekati ahli di peringkat akar umbi, selain mengeratkan silaturahim dan semangat kekitaan.
Kepimpinan cawangan turut berkongsi perkembangan semasa parti, hala tuju perjuangan PBB dan usaha GPS membawa agenda pembangunan Sarawak.
Dalam ucapannya, Bell merakamkan penghargaan kepada semua ahli baharu yang memilih bersama PBB Cawangan Krian.
Menurut beliau, penyertaan itu memperlihatkan keyakinan terhadap kepimpinan PBB dan GPS dalam membangunkan Sarawak serta memperjuangkan kepentingan rakyat.
Beliau turut menekankan kepentingan perpaduan dan semangat Segulai Sejalai bagi memastikan hubungan antara kepimpinan, ahli dan masyarakat terus diperkukuhkan.
Pada masa sama, PBB Cawangan Krian menyatakan sokongan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam meneruskan agenda pembangunan negeri dan memperjuangkan kepentingan Sarawak menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13).
Dalam majlis itu juga, Bell menyampaikan insentif pendidikan kepada tiga pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya, sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan pendidikan generasi muda.
Program tersebut membuktikan komitmen parti dalam memperkukuh hubungan dengan ahli dan masyarakat akar umbi, selaras dengan semangat kebersamaan membina masa depan Sarawak.
Oleh Adi Safarman



