KUCHING: Seramai 15 pemberita sambilan dan pemberita wilayah Utusan Sarawak mengikuti Kursus Pemberita Sambilan dan Pemberita Utusan Sarawak di Dewan Hotel Samudra, bermula pagi semalam.
Objektif kursus ini bertujuan menghurai komponen kewartawanan mengenai pembangunan, isu semasa dan kemasyarakatan.
Perunding Editorial Utusan Sarawak, Toman Mamora berkata, antara objektif latihan ini adalah untuk mempamerkan teknik perolehan maklumat dan penulisan kewartawanan.
“Selain itu, objektif kursus ini adalah bagi menyediakan penulisan untuk kewartawanan pembangunan, isu dan peristiwa semasa serta mengurus maklumat kewartawanan untuk ditulis bagi disampaikan kepada khalayak secara beretika.
“Kursus yang dijalankan ini merangkumi sejarah dan falsafah kewartawanan pembangunan kemasyarakatan dalam konteks sistem demokrasi yang berlandaskan perlembagaan dan keutuhan masyarakat berbilang kaum,” katanya ketika selaku penceramah pada kursus tersebut.
Kursus ini dijalankan selama dua hari bermula 16 Oktober 2020 dan berakhir pada hari ini.
Dalam pada itu, pada kursus tersebut Eksekutif Editor Utusan Sarawak, Anthony Punan turut menekankan tentang peranan setiap pemberita dalam mendapatkan berita semasa yang berfakta dan sahih.
Ujarnya, perubahan zaman dalam penyampaian berita turut memainkan peranan penting dalam mencari isi berita.
“Oleh itu diharapkan dengan kursus ini, pemberita sambilan dan pemberita sedia ada sentiasa peka dengan setiap isu semasa di kawasan masing-masing.
“Sentiasa pastikan berita yang diperolehi dari sumber berita adalah berdasarkan fakta yang sahih,” ujarnya.
Turut hadir, Pengurus Besar Utusan Sarawak, Ivy Ngo, Editor Kanan Utusan Sarawak, Yanti Sham dan Mahdar Bujang.
Oleh Earl Anek