BELADIN: Sebanyak 15 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Motosikal yang dilaksanakan di sekitar Jalan Pusa-Beladin, Jalan Pusa-Sesang dan sepanjang Jambatan Batang Saribas 1, malam tadi.
Menurut kenyataan media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong, operasi itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Betong dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) IPD Betong, Balai Polis Beladin serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Betong.
Operasi bermula dari 7.30 malam hingga 11.00 malam itu diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (KBSPTD) Betong, Inspektor Mohd Hadi Mohd Yasin, melibatkan kekuatan seramai 19 pegawai dan anggota polis serta JPJ.
Sepanjang operasi dijalankan, seramai 35 individu bersama 30 buah motosikal telah diperiksa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya serta mengesan sebarang pelanggaran peraturan lalu lintas.
Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 15 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, dengan kesalahan tidak memakai topi keledar merekodkan jumlah paling tinggi iaitu 12 saman.
Turut dikesan ialah kesalahan mengubah suai ekzos, menggunakan aksesori kenderaan yang tidak sempurna serta memandu tanpa memiliki lesen memandu yang sah.
Dalam operasi sama, JPJ Betong turut mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 19 notis membabitkan Notis Saman Larangan Penggunaan Kenderaan dan Notis Arah Periksa terhadap motosikal yang didapati tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.
Tindakan bersepadu antara PDRM dan JPJ itu memperlihatkan komitmen agensi penguat kuasa dalam memastikan setiap kenderaan yang berada di jalan raya mematuhi aspek keselamatan dan peraturan yang berkuat kuasa.
Menurut kenyataan itu, sepanjang operasi berlangsung tiada sebarang tangkapan dibuat dan tiada kejadian tidak diingini dilaporkan, sekali gus membolehkan operasi berjalan lancar dalam keadaan terkawal.
Keadaan cuaca yang baik sepanjang tempoh operasi turut membantu kelancaran pemeriksaan dan memudahkan anggota penguat kuasa menjalankan tugas di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti.
IPD Betong memaklumkan bahawa Op Motosikal akan terus dilaksanakan secara berkala dan berterusan sebagai langkah mempertingkatkan pematuhan pengguna jalan raya terhadap undang-undang trafik.
Pada masa sama, orang ramai khususnya penunggang motosikal diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, memakai topi keledar, memastikan motosikal berada dalam keadaan sempurna serta memiliki lesen memandu yang sah bagi mengelakkan tindakan undang-undang dan menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya.
Oleh Adi Safarman




