
SIMANGGANG: Kelab Tinju Tidal Bore (TBBC) Sri Aman menghantar seramai 15 petinju muda untuk menyertai Kejohanan Tinju Bakat dan Remaja Sibu Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC), Sibu bermula esok hingga 28 Jun.
Menurut Ketua Jurulatih TBBC, Kamaruddin Mohammad, pasukan terdiri daripada 13 petinju lelaki dan dua petinju wanita yang akan bertanding dalam lima kategori utama.
“Kami akan bersaing dalam kategori Bakat Lelaki (13–14 tahun) dengan dua peserta, seorang peserta Bakat Wanita (13–14 tahun), seorang petinju Junior Wanita (15–16 tahun), sembilan petinju Junior Lelaki (15–16 tahun) dan dua petinju Remaja Lelaki (17–19 tahun),” jelasnya.
Beliau berkata, sasaran utama pasukan adalah melangkah ke pusingan akhir dalam semua kategori yang dipertandingkan.
“Kami telah membuat persiapan rapi selama beberapa bulan. Kejohanan ini adalah pentas terbaik untuk petinju muda kami menonjolkan bakat dan berpeluang menjadi pelapis negeri, bahkan melangkah ke SUKMA 2026 di Selangor nanti,” katanya.
Kejohanan selama tujuh hari ini dianjurkan oleh Persatuan Tinju Bahagian Sibu (SBA) dengan kerjasama Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) dan Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) serta mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Oleh Adi Safarman