KUCHING: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menahan 15 pendatang asing dalam Ops Sapu yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar Simunjan, Samarahan dan Serian, semalam dan awal pagi tadi.
Operasi yang dilaksanakan Bahagian Penguat Kuasa JIM Kuching bermula dari 9.00 malam hingga 6.00 pagi itu dijalankan hasil aduan orang awam serta risikan terhadap rumah kongsi, rumah pekerja di tapak pembinaan, ladang dan tapak semaian kelapa sawit.
Menurut kenyataan JIM Sarawak, seramai 28 Orang Yang Diperiksa (OYDP) diperiksa sepanjang operasi tersebut.
“Hasil pemeriksaan, seramai 15 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” menurut kenyataan itu hari ini.
Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
JIM Sarawak memaklumkan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi membanteras pelanggaran undang-undang imigresen serta memastikan majikan dan masyarakat mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Orang ramai turut diseru supaya menyalurkan maklumat berhubung kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi membantu usaha penguatkuasaan dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
Oleh Afiq Sallehi





