KOTA SAMARAHAN : Lebih kurang 15 laluan jalan masuk dan keluar di Taman Desa Ilmu dan Taman Unigarden di sini mula ditutup semalam bagi memberi laluan kepada aktiviti pengesanan kes secara aktif di kawasan berkenaan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, penutupan itu bagaimanapun bukanlah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tetapi hanya mengawal rapi pergerakan keluar dan masuk penduduk.
“Ini bagi membolehkan aktiviti pengesanan kes secara aktif ke atas individu yang mempunyai kontak rapat dengan kes Covid-19 dapat dijalankan dengan lebih lancar.
“Pihak polis turun padang bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membuat saringan dari rumah ke rumah di dua lokasi ini dengan bertindak mengawal ketat pergerakan penduduk,” katanya kepada pemberita semalam.
Menurut Aidi, bermula semalam hingga 30 April nanti, orang luar tidak akan dibenarkan masuk di dua lokasi berkenaan.
Tegasnya, hanya penduduk yang ada urusan penting atau keluar untuk bekerja sahaja dibenarkan keluar dan masuk di lokasi ini.
Beliau memberitahu seramai 202 pegawai dan anggota polis Sarawak yang akan terlibat dalam operasi tersebut di dua lokasi berkenaan.
Aidi turut menegaskan penduduk di kedua-dua lokasi itu telah dimaklumkan sebelum penutupan jalan dilakukan dan tidak timbul isu penutupan secara mengejut.
Sementara itu, Mohd Amirul Samad, salah seorang penduduk di Taman Uni Garden berkata, beliau ada mendengar tentang berita penutupan jalan akan dilakukan di kawasan kediamannya.
“Ya, saya ada mendengar tentang perkara ini, dan jika ia adalah untuk tujuan yang baik, kami sebagai penduduk di sini perlu akur.
“Dengan adanya operasi seperti ini, saya harap kawasan ini akan dapat dibersihkan daripada penularan wabak Covid-19,” katanya.
Surina Mustapha, yang juga penduduk di taman perumahan tersebut berkata, beliau ada melihat berita tentang penutupan jalan itu tular di media sosial beberapa hari lalu.
“Tetapi, ada yang mengatakan bahawa ini adalah berita palsu dan saya agak terkejut juga apabila melihat beberapa jalan di kawasan taman ini mula ditutup.
“Tidak dinafikan juga memang ada rasa panik tetapi saya berharap aktiviti pengesanan secara aktif yang dilakukan ini dapat berjalan dengan lancar dan keadaan akan pulih seperti sedia kala.
Menurut Surina, pengumuman berkenaan dengan aktiviti pengesanan secara aktif ini juga telah dilakukan secara bergerak semalam di lorong kediamannya.
Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) melalui Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan akan menjalankan aktiviti pengesanan secara aktif kes Covid-19 di dua lokasi di Kota Samarahan pada 27 hingga 30 April ini.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam satu kenyataan Ahad lalu, dua lokasi tersebut melibatkan Taman Desa Ilmu dan Taman Unigarden.
Aktiviti ini katanya akan dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Pejabat Residen Bahagian Samarahan, polis, RELA, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak dan lain-lain.
Beliau dipetik berkata, pihaknya menyediakan 50 pasukan dengan dua petugas bagi setiap pasukan untuk mengendalikan proses saringan atau mengenal pasti kes aktif dari rumah ke rumah.