15 iklan pemberi pinjaman wang tanpa lesen diturunkan di Padawan

Facebook
WhatsApp
POLIS menanggalkan sepanduk haram.

PADAWAN: Polis menurunkan 15 iklan pemberi pinjaman wang yang disyaki beroperasi tanpa lesen dalam Op Vulture yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Barry William berkata operasi bermula kira-kira 11.00 pagi dan menyasarkan kawasan di sepanjang Jalan Kuching-Serian, Siburan.

“Operasi diketuai anggota BSJKD IPD Padawan dan berjaya menurunkan 15 iklan yang dipasang pada tiang elektrik, papan tanda lorong perumahan serta pokok di kawasan berkenaan,” katanya.

Barry menasihatkan orang ramai supaya tidak berurusan dengan pemberi pinjaman wang tidak berlesen kerana ia boleh mendedahkan mereka kepada risiko seperti ugutan, gangguan dan penipuan.

Beliau turut menggesa orang ramai mendapatkan perkhidmatan kewangan hanya daripada institusi atau pemberi pinjaman yang berdaftar dan sah di sisi undang-undang.

Oleh Connie Chieng