
BINTULU: Sebanyak 15 dos vaksin anti-rabies diberikan menerusi Program House-to-House (H2H) yang dilaksanakan di sekitar Tubau dan Sebauh semalam dalam usaha memperkukuh kawalan penularan rabies di kawasan berkenaan.
Program anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Bahagian Bintulu dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) itu turut melibatkan pelaksanaan pelesenan serta pemasangan mikrocip anjing.
Menurut kenyataan BDA, daripada jumlah vaksin yang diberikan, 11 merupakan suntikan dos pertama manakala empat lagi adalah dos penggalak.
Selain itu, sebanyak 13 e-lesen telah dikeluarkan, manakala 15 ekor anjing berjaya dipasang mikrocip melibatkan 12 pemilik haiwan.
Pelaksanaan program itu melibatkan lawatan ke 21 rumah panjang, dengan 10 lokasi lagi masih berbaki untuk dilawati secara berperingkat.

Inisiatif berkenaan mencerminkan usaha berterusan pihak berkuasa dalam memastikan kesihatan awam terpelihara.
Selain itu, ia juga meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan vaksinasi, pelesenan dan pengenalpastian haiwan peliharaan.
“Kerjasama yang diberikan oleh penduduk setempat amat dihargai dalam menjayakan program ini.
“Usaha bersepadu antara agensi akan terus diperkukuh bagi memastikan kawalan rabies dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan,” ujar kenyataan itu.
Orang ramai disaran mengikuti perkembangan terkini melalui saluran rasmi pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat lokasi serta tarikh program seterusnya.