
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hari ini menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sarawak yang berlangsung di Dewan Besar, Astana Negeri.
Istiadat yang bermula tepat 11.00 pagi itu menyaksikan seramai 147 orang penerima dikurniakan pelbagai darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri sebagai penghargaan atas jasa bakti, perkhidmatan cemerlang serta sumbangan budi para penerima dalam pelbagai bidang perkhidmatan kepada rakyat dan negeri Sarawak.
Istiadat dimulakan sejurus Pendaftar Darjah, Dato’ Sri Syed Hamzah Syed Paie, Setiausaha Sulit Kanan kepada Tun Wan Junaidi mendapat kebenaran beliau bagi memulakan istiadat.
Mendahului senarai penerima ialah Anugerah Pingat Pentadbiran Awam iaitu Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) yang telah dikurniakan kepada tujuh orang penerima termasuklah Sapiah Daud, Anielia Siam, Nur Alina Abdullah @ Colliner Gihe dan Unus Tambi.
Seterusnya, Anugerah Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak iaitu Pegawai Bintang Sarawak (PBS) telah dikurniakan kepada lima orang penerima, termasuk Profesor Dr Ramlah Zainudin, Kushairi Abang, Dr Peter Morin Michael Paong dan Zaidell Hussaini.
Bagi Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak iaitu Pegawai Bintang Kenyalang (PBK) pula dikurniakan kepada 15 orang penerima; antaranya Datin Siti Ramah Shariff, Biyati Putit, Abang Zainuddin Abang Turkey, Alex Liau dan Prof Madya Dr Samsur Mohamad.
Manakala, bagi Pingat Perkhidmatan Awam iaitu Perkhidmatan Bakti (PPB), seramai 18 orang penerima telah menerima anugerah tersebut, antaranya Kapten Muhammad Haziq Abdullah, Paschal Dagang, Polly Ateau dan Tajul Ariff Abdullah Halim Kamil.

Dalam kategori Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak iaitu Ahli Bintang Sarawak (ABS), seramai 17 orang penerima telah dikurniakan anugerah termasuk Ling Hua Wee, Loh Lin Kwang, Machau Layus, Mohamad Akram Mohamed Karim dan Mona Kulat.
Anugerah Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak iaitu Ahli Bintang Kenyalang (ABK) pula telah disampaikan kepada 15 orang penerima, antaranya Darin Nor Aishah Abdul Rashid, Fatimah Abdullah@Martha Agung, Nyalong Manggi dan Stephenson Changai Gindau.
Bagi kategori Pingat Pentadbiran Awam iaitu Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT), seramai 39 orang penerima telah dianugerahkan termasuklah Sub Inspektor Silang Gelanyang, Sarjan Mejar Shamsudin Osman, Pegawai Waran Udara I (B) Jackson Joseph dan Pegawai Waran I (B) Muhammad Soleh Sulaiman Steven Abdullah dan Tutty Ramuni Othman.
Sementara itu, Anugerah Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak iaitu Bentara Bintang Sarawak (BBS) telah dikurniakan kepada seramai 29 orang penerima antaranya Abas Kassim, Adrian Zuras, Yong Yaw Yuen, Bida Padan dan Sharanjit Kaur.
Istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Al-Fadhil Syed Mohd Rusydi Wan Yusup, Pegawai Agama Astana Negeri dan seterusnya Pendaftar Darjah memaklumkan kepada Tun Wan Junaidi bahawa Istiadat Darjah Kebesaran Negeri Sarawak telah selamat disempurnakan.
Tun Wan Junaidi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua penerima atas dedikasi, integriti dan komitmen mereka yang telah menyumbang secara langsung dan signifikan kepada pembangunan dan kemajuan negeri Sarawak.
Tun Wan Junaidi turut menzahirkan harapan agar semua penerima akan terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat, memelihara nilai murni serta menjadi teladan dalam kalangan masyarakat.