
TANJUNG MANIS: Safari Memancing Tanjung Manis 2025 menarik sebanyak 146 penyertaan membabitkan dua kategori iaitu laut dalam (29) dan persisiran pantai (117) yang menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM60,000.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, acara yang bermula semalam mendapat sambutan menggalakan yang mana turut disertai peserta dari Kuching, Bintulu, Miri, Limbang dan Sibu yang telah hadir bersama memeriahkan acara ini.
“Ia merupakan salah satu dari aktiviti kemasyarakatan utama di Tanjung Manis yang sudah tidak asing lagi bagi kaki pancing dan dikenali di seluruh Sarawak.
“Acara safari memancing anjuran Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) semenjak 2005 adalah semangat Tanjung Manis dan menjadi sebahagian daripada identiti yang sudah sebati dengan kawasan ini.
“Besar harapan saya agar acara ini dapat memberikan impak yang berpanjangan di kawasan ini. Saya percaya aktiviti sebegini mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti yang menyeluruh dan mampan dan seimbang,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian di majlis penangguhan safari memancing edisi ke-18 di Terminal Ekspress Tanjung Manis, hari ini.
Hadir untuk merasmikan majlis penangguhan tersebut ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Len Talif berkata, acara seperti ini selain memperkenalkan Tanjung Manis sebagai sebuah pusat pelaburan dan juga membuka peluang untuk mempromosikan kawasan ini sebagai destinasi ekopelancongan di seluruh dunia.
Dalam pada itu, katanya, sejarah rancangan pembangunan Tanjung Manis bermula awal 1980 an, iaitu empat dekad yang lalu dan telah berkembang pesat sejak dari hutan bakau dan nipah kepada apa yang dilihat hari ini.
“Yang Amat Berhormat (YAB) Premier Sarawak selaku Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak pertama pada 1987, telah terlibat secara langsung dalam perancangan ini dan diteruskan dengan pembangunan oleh PUSAKA pada 1990 dengan majlis pecah tanah oleh Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, selaku Ketua Menteri pada 11 Mac 1990 sebagai zon pemprosesan perkayuan Tanjung Manis.
“Premier melihat potensi Tanjung Manis dan Lembah Rajang sebagai sebuah wilayah yang penting untuk dimajukan dalam pelbagai sektor ekonomi seperti ekopelancongan, perkapalan, akuakultur, pertanian padi, kelapa, nanas dan lain-lain, termasuklah perdagangan Karbon Hutan Bakau.
“Untuk memastikan sektor-sektor ini berkembang, Premier Sarawak memberi penekanan khusus terhadap infrastruktur, jambatan, jalan raya, elektrik dan kemudahan asas yang lain untuk menyokong pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Tambahnya, dengan infrastruktur dan kemudahan asas yang disediakan, Tanjung Manis kini semakin berkembang, menjadi sebuah hab industri yang penting.
“Kesinambungan kepada inisiatif YAB Premier juga, telah mengumumkan penubuhan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) pada 2022 yang memfokuskan kepada Pembangunan di Wilayah Tengah Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion sebagai pemangkin pembangunan menyeluruh di wilayah ini dengan pendekatan “bottom-up”.
“Di bawah RADDA yang merangkumi Bahagian Mukah, Sarikei dan sebahagian Daerah Sibu, beberapa projek baharu sedang dirancang dan dilaksanakan seperti pembinaan jalan raya, bekalan air dan elektrik serta pembangunan kawasan industri dan komersial.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat,” katanya lagi.
Katanya, di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Wilayah Tengah Sarawak yang merangkumi Bahagian Kapit, Sibu, Sarikei dan Mukah telah dipilih sebagai pusat pembangunan strategik.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menjadikan Sarawak sebagai hub ekonomi yang menyokong ekonomi hijau dan kelestarian alam sekitar.
“Bagi merancakkan momentum pembangunan di Lembah Rajang, Premier Sarawak turut memberikan penekanan terhadap pembangunan infrastruktur yang strategik serta berimpak tinggi.
“Ini termasuklah membina padang golf, hotel bertaraf antarabangsa dan naik taraf lapangan terbang yang sedia ada yang akan menjadikan kawasan ini sebagai tumpuan pelancongan serta hab ekonomi seluruh dunia,” tambahnya.
Menurut beliau, usaha yang dilaksanakan secara berterusan menunjukkan komitmen dalam memacu pembangunan terutamanya sektor perikanan dan pertanian di kawasan ini.
“Malah inisiatif-inisiatif ini amat penting dalam kelestarian sumber laut dengan memelihara ekosistem perairan dan seterusnya dapat menjana pendapatan masyarakat setempat yang mampan.
“Inisiatif-inisiatif pembangunan di Tanjung Manis dan Lembah Rajang juga memberi perhatian terhadap kelestarian alam sekitar.
“Salah satunya adalah melalui inisiatif Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dalam penanaman tukun tiruan di sepanjang perairan Sarawak yang bertujuan untuk memulihara ekosistem marin dan meningkatkan hasil tangkapan ikan dengan memberi tumpuan kepada kawasan utama di persisiran Sarawak seperti di Kuala Rajang, Belawai, Pulau Bruit termasuk Kabong,” katanya.
Tambahnya, pendekatan ini adalah penting dalam memastikan sumber perikanan tetap mampan untuk generasi akan datang.
Oleh Earl Anek