SARIKEI: Seramai 1,450 peserta menyertai Larian Perpaduan Sarikei 6.0 anjuran bersama Pejabat Daerah Sarikei dan Uni Sport.
Ia merupakan rekod tertinggi penyertaan peserta sejak penganjuran edisi pertama.
Residen Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong berkata, ia adalah edisi ke-6 dianjurkan melibatkan larian sejauh 10 kilometer (km) dan tiga km.
“Program ini melibatkan masyarakat pelbagai kaum…seperti matlamat asal kita untuk memupuk perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat.
“Di samping itu, ia bertujuan untuk menjamin kesihatan yang baik untuk masyarakat di sini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Dewan Suarah Sarikei, hari ini.
Beliau berkata turut diadakan selepas selesai larian 10 km dan 3 km adalah aktiviti sempena perayaan Krismas iaitu Sarapan Pagi Perpaduan Krismas dan Perhimpunan Anak Sarikei.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung untuk larian ini iaitu pihak penaja, agensi kerajaan dan semua peserta yang membantu kita menjayakan program ini.
“Kita harap program ini akan diperkembangkan lagi memandangkan mendapat sambutan sangat baik daripada peserta yang hadir dari seluruh pelusuk Sarawak,” katanya.
Turut diadakan bagi memeriahkan lagi program adalah cabutan bertuah dan senamrobik.
Hadir sama Penghulu Huang Tiong Kang selaku wakil Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii; Timbalan Residen Sarikei, Badjuri Bidin dan Pegawai Daerah Sarikei, Louis Yeo Soon Guan.
Oleh Earl Anek