
BINTANGOR: 143 hektar tanah telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak untuk projek pembangunan padi moden di Daerah Meradong dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti sektor pertanian tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata projek tersebut akan dilaksanakan secara bersama oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dan Onemas Agriculture Sdn Bhd bagi memperkukuh pembangunan pertanian moden di kawasan tersebut.
“Inisiatif ini bukan sekadar projek pertanian, malah menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.
“Saya berharap usaha ini dapat memacu pembangunan sektor pertanian di seluruh daerah ini, khususnya dalam bidang penanaman padi moden serta industri berkaitan.
“Ia sekali gus menjadikan kawasan tersebut sebagai peneraju pertanian moden di rantau ini,” katanya ketika berucap di majlis lawatan rasmi dan sidang media sempena kunjungan delegasi dari Universiti Wuhan di sebuah restoran pada malam tadi.
Katanya, perkembangan projek ini amat memberangsangkan dan berpotensi menjadikan daerah ini sebagai antara kawasan peneraju dalam pembangunan penanaman padi moden di Sarawak.
Koung Hiing juga merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Eksekutif Onemas Agriculture Sdn Bhd, Dato Stephen Sia atas komitmen berterusan dalam merealisasikan projek tersebut di daerah ini yang mempunyai nilai signifikan kepada pembangunan sektor pertanian tempatan.

“Saya berharap agar usaha penyelidikan dan pembangunan yang berterusan, termasuk penambahbaikan benih serta penggunaan teknologi baharu akan memberi manfaat kepada lebih ramai pekebun kecil melalui peningkatan produktiviti dan pendapatan mereka.
“Pasukan dari China telah berkunjung lebih daripada 20 kali setakat ini, membuktikan komitmen tinggi dan kesungguhan mereka terhadap projek tersebut.
“Saya yakin dengan gabungan teknologi pertanian maju dari China, kerjasama institusi tempatan dan sokongan semua pihak, projek pembangunan benih dan penanaman padi ini akan dapat direalisasikan dengan jayanya,” katanya.
Tambahnya, sekiranya timbul sebarang masalah sepanjang pelaksanaan projek, pihak terlibat dialu-alukan untuk berhubung melalui wakil berkaitan atau terus kepada beliau agar perkara tersebut dapat dibawa kepada pihak kerajaan untuk tindakan lanjut.
Saya berharap projek ini akan memberikan hasil dalam masa terdekat, demi manfaat bukan sahaja kepada Onemas Agriculture dan LCDA, malah turut memberi impak positif kepada seluruh rakyat Sarawak,” katanya.
Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif Onemas Agriculture Sdn Bhd, Dato Stephen Sia; wakil Pegawai Daerah Meradong, Ting Kai Siang; Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering dan Pemanca Yii Hee Sieng.
Oleh Earl Anek