14 pintu rumah panjang musnah terbakar di Kampung Tegelam, Simunjan

Facebook
WhatsApp
KEADAAN rumah panjang 14 pintu di Kampung Tegelam, Simunjan yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran. Foto JBPM.

SIMUNJAN, 5 Oktober: Sebuah rumah panjang kosong mempunyai 14 pintu musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Tegelam, Simunjan, petang ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 2.57 petang.

Menurut JBPM Sarawak, sebaik Komander Operasi tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan sebuah rumah panjang kosong yang mempunyai 14 pintu.

Kebakaran memusnahkan keseluruhan struktur rumah panjang berkenaan dengan anggaran kemusnahan mencapai 100 peratus.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan, dibantu BBP Serian, kemudian menjalankan operasi pemadaman bagi mengawal dan memadam kebakaran.

Bagaimanapun, operasi berdepan masalah bekalan air di lokasi kejadian yang menjejaskan kelancaran kerja-kerja pemadaman.

Seramai 12 anggota bomba terbabit dalam operasi berkenaan dengan kekuatan dua jentera pemadam kebakaran serta sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux. 

Komander Operasi ialah Pegawai Bomba Kanan II Awang Johari Awang Onget, manakala Komander Operasi Kanan ialah Penolong Penguasa Bomba Nazari Harun, yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan.

Setakat laporan dikeluarkan, kerja-kerja pemadaman masih dijalankan dan maklumat lanjut akan dikemas kini oleh pihak bomba dari semasa ke semasa.