
KUCHING: Seramai 14 penduduk termasuk warga emas dan seorang orang kurang upaya (OKU) dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Sinar Budi Baru selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir, awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada 2.47 pagi, memaklumkan beberapa rumah di Lorong 5K, Taman Desa Wira serta Kampung Sinar Budi Baru dinaiki air dan memerlukan bantuan pemindahan segera.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dan BBP Kota Sentosa tiba di lokasi pada 3.05 pagi, sebelum operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada 5.50 pagi dan tamat pada 6.15 pagi.
Menurut keyataan sama, operasi pemindahan dijalankan menggunakan bot aluminium dan bot fiber bagi memastikan mangsa dipindahkan ke lokasi selamat.
“Kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke PPS Kampung Sinar Budi Baru. Setakat 5.30 pagi, seramai 14 orang berjaya dipindahkan dengan selamat,” katanya.

Antara mangsa terlibat terdiri daripada empat lelaki dewasa, empat kanak-kanak lelaki, dua kanak-kanak perempuan, dua warga emas perempuan, seorang warga emas lelaki serta seorang OKU lelaki.
Pihak bomba menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terutama ketika hujan berterusan dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.