Helikopter bomba melepaskan air untuk memadamkan kebakaran di sebuah kilang alat ganti kereta di bandar Daejeon, Korea Selatan. - AFP
DAEJEON (Korea Selatan)/ Sekurang-kurangnya 14 orang maut dalam kebakaran besar di sebuah kilang alat ganti kereta di bandar Daejeon, Korea Selatan, menurut pihak berkuasa pada Sabtu selepas tiga individu yang sebelum ini dilaporkan hilang ditemukan maut, lapor Agensi Berita Yonhap.
Pasukan penyelamat menemukan mayat tiga lagi mangsa di tingkat dua bangunan kilang yang hangus antara 4 petang hingga 5 petang dengan menggunakan peralatan berat untuk mengalihkan runtuhan.
Dengan penemuan terbaharu itu, kesemua 14 individu yang dilaporkan hilang telah ditemukan, menurut pihak berkuasa bomba.
Sekurang-kurangnya 58 orang cedera dalam kebakaran itu, termasuk dua anggota bomba.
Seramai 170 pekerja berada di dalam kilang berkenaan ketika kebakaran dilaporkan berlaku kira-kira 1.17 tengah hari pada Jumaat. Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas kira-kira 10 jam 30 minit, menurut pihak berkuasa.
“Kami merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada mereka yang terkorban dalam kebakaran ini dan menzahirkan simpati kepada keluarga mangsa,” kata Ketua Pesuruhjaya Agensi Bomba Kebangsaan Kim Seung-ryong.
Sementara itu, Presiden Lee Jae Myung melawat lokasi kejadian pada petang Sabtu bagi meninjau operasi menyelamat serta bertemu keluarga mangsa dan mangsa yang terselamat.
— BERNAMA-YONHAP