KUCHING: Banjir besar yang melanda hampir seluruh Sarawak telah menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan apabila 14 loji rawatan air dan stesen pam terpaksa menghentikan operasi.
Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa paras air yang tinggi serta keadaan muka sauk yang terjejas menyulitkan proses rawatan air yang mengakibatkan banyak kawasan mengalami gangguan bekalan air.
Menurut JBALB, antara loji yang terjejas termasuk Loji Rawatan Air Sungai Serin, Kuching; Loji Rawatan Air Sebuyau, Samarahan; Loji Rawatan Air Ulu Mukah, Mukah; dan Loji Rawatan Air Acute Kanowit.
“Beberapa loji telah berjaya beroperasi semula seperti Loji Rawatan Air Sungai Serin pada 30 Januari, Loji Rawatan Air Ulu Mukah pada 2 Februari, dan Loji Rawatan Air Selangau pada 31 Januari.
“Namun, ada juga loji yang masih belum dapat beroperasi sehingga kini, termasuk Loji Rawatan Air Sebuyau, Loji Rawatan Air Sungai Kut, Loji Rawatan Air Dalat, dan Loji Rawatan Air Basong,” menurutnya.
JBALB menyatakan selain gangguan bekalan air, turut dilaporkan beberapa insiden tanah runtuh dan keretakan jalan raya yang mengakibatkan saluran paip terputus dan mengalami kebocoran.
“Antara kawasan yang terjejas adalah di Serian iaitu jalan Muara Ongkos dan jalan Sanggai-Mentung Mongkos manakala dikawasan Miri ialah jalan Kejapil Beraya serta beberapa kawasan di Bintulu iaitu KM22 Ulu Sebauh dan bukit Sadit Ulu Sebauh,” jelasnya.
Akibat banjir besar ini, JBALB menganggarkan jumlah kerugian mencecah RM2.2 juta, manakala kos bagi membaik pulih kerosakan terhadap aset bekalan air dianggarkan sekitar RM2.4 juta.
Pihak JBALB memberi jaminan bahawa usaha pemulihan sedang giat dijalankan untuk memastikan bekalan air dapat dipulihkan dengan segera kepada penduduk yang terjejas.
Penduduk di kawasan yang masih mengalami gangguan bekalan air dinasihatkan untuk menggunakan air secara berhemah sementara pihak berkuasa berusaha membaik pulih loji rawatan air yang masih belum beroperasi.
JBALB juga menyarankan agar penduduk yang terjejas mendapatkan maklumat lanjut melalui Pusat Khidmat Pelanggan JBALB di talian 082-262211 atau menerusi laman web rasmi https://jbalb.sarawak.gov.my/.
Oleh Masrin Affirah / Amanda L.